Sejak semalam (15 Oktober), tular satu dakwaan di media sosial yang mengatakan seorang ahli politik telah ditahan khalwat. Menerusi satu video tular, netizen mendakwa ia melibatkan seorang bekas ahli menteri dan juga Ahli Parlimen (MP).
Perkara itu turut didedahkan aktivis dan penyanyi rap, Caprice di akaun Threads miliknya. Dia berkata, “Seorang bekas MP baru ditangkap khalwat petang tadi.”
Dakwaan ditularkan Caprice itu berlatar belakangkan warna kuning berserta haiwan dipercayai kancil sekaligus mencetuskan spekulasi ianya mirip bendera dan simbol parti, BERSAMA.
View on Threads
2 Individu Ditahan Berhubung Dakwaan Khalwat, Salah Seorang Ahli Politik – JAIS
Terbaharu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penahanan dua individu berhubung dakwaan kesalahan khalwat, melibatkan seorang tokoh politik di daerah Petaling semalam.
“JAIS mengesahkan bahawa satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat melibatkan figura awam telah dilakukan di sekitar daerah Petaling pada pukul 6.00 petang, semalam.
“Dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” kata Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.
Jika Disabit Kesalahan, Individu Boleh Didenda Hingga RM3,000 Atau Penjara Lebih 2 Tahun
Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kenyataan sama, JAIS turut menasihatkan umat Islam agar tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikannya bahan spekulasi, perdebatan dan fitnah dalam apa juga cara.
Dalam pada itu, media melaporkan pemimpin politik tersebut yang juga bekas menteri ditangkap khalwat bersama seorang wanita dipercayai pengasas sebuah NGO.
Sebelumnya sebuah lagi portal berita melaporkan JAIS yang terdiri daripada lima anggota penguatkuasa masuk ke sebuah rumah dan ketika serbuan, pemimpin politik itu dan wanita berkenaan berada di rumah terbabit.
Mereka kemudian dibawa ke Pejabat JAIS Shah Alam.







