
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengesahkan kewujudan satu kluster tuberkulosis atau dikenali sebagai Tibi di Kota Tinggi, Johor yang sedang tular.
Menurutnya sebanyak 33 kes positif dikesan termasuk enam murid melalui pengesanan kes secara aktif kepada 804 orang kontak rapat.
Kata JKNJ lagi kesemua pesakit kini telah menerima rawatan serta sedang menjalani pemantauan rapi di fasiliti kesihatan yang berhampiran.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: JKNJ Sahkan Satu Kluster Tibi Di Kota Tinggi, 804 Disaring & 33 Dikesan Positif
Apa itu Tibi & gejala yang dialami?
Perkara ini pastinya membuat segelintir daripada kita bimbang dan ingin mengetahui apakah yang perlu dilakukan jika berhadapan dengan keadaan tersebut.
Tuberkulosis merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara kepada kontak rapat yang berdekatan. Selain Tibi ia juga dikenali sebagai batuk kering.
Antara gejala atau tanda-tanda seseorang itu dijangkiti tibi adalah:
- Mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu
- Demam
- Penurunan berat badan
- Hilang selera makan
- Batuk berdarah
Cara untuk kurangkan risiko daripada dijangkiti penyakit Tibi
Oleh itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan, anda perlu:
- Sentiasa menjaga kebersihan diri
- Kerap mencuci tangan dengan sabun dan air
- Elak menyentuh mata, hidung serta mulut
- Memakai pelitup muka khususnya di kawasan yang berisiko
“Amalan penjarakan fizikal, gaya hidup sihat, pemakanan seimbang, tidur mencukupi dan menghindari tabiat merokok turut membantu meningkatkan daya tahan tubuh,” jelasnya, lapor Berita Harian yang memetik laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia.
Apa perlu dilakukan jika dijangkiti Tibi?
Seseorang yang telah disahkan atau positif tibi, perlulah patuh kepada rawatan sepenuhnya dan menghadiri setiap janji temu susulan yang sudah ditetapkan dan ia amat penting.
KKM turut menyarankan mereka yang disahkan tibi untuk berhenti mengambil sebarang ubat tanpa mendapatkan nasihat doktor untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang komplikasi serius serta risiko kepada penularan terus meningkat.
Selain itu, KKM juga menegaskan 5-10% kontak rapat pesakit tibi mempunyai risiko dijangkiti dalam tempoh selama dua tahun.
Malah individu yang tinggal serumah, atau kerap berinteraksi rapat, berkongsi kenderaan, mahupun terlibat dalam aktiviti sosial bersama atau berada dalam organisasi sama juga dianggap antara golong berisiko tinggi.

Segera lakukan pengesanan awal
“Justeru orang ramai digalakkan membuat pengesanan awal membabitkan pemeriksaan klinikal, penilaian gejala, ujian kulit Tuberkulin, Ujian pelepasan interferon-gmma (IGRA) dengan persetujuan, ujian kahak serta pemeriksaan Sinar-X dada, bagi membolehkan rawatan awal diberikan sebelum keadaan pesakit menjadi lebih serius,” kata KKM lagi.
Mereka yang disahkan positif tibi akan mendapat rawatan selama enam bulan, manakala bagi pesakit yang menghidap Latent Tibi (LTBI) juga diberikan tempoh rawatan yang sama.
Walau bagaimanapun bagi seseorang yang didapati normal, individu itu akan melakukan pemeriksaan susulan sebanyak empat kali bagi tempoh dua tahun.
Laman sesawang Hospital Pantai turut menyarankan mereka yang menghidap Tibi untuk menjaga kebersihan dengan baik apabila batuk.
Pencegahan ini termasuk:
- Mengelakkan sentuhan dengan orang lain
- Memakai topeng muka (Face mask)
- Menutup mulut dan hidung anda semasa batuk atau bersin dan buang kahak dan tisu yang digunakan dengan betul
Vaksinasi
Vaksin BCG yang merupakan strain hidup Mycobaterium bovis telah dicipta oleh Calmetter dan Guérin sebagai vaksin yang dilemahkan bagi mencegah tibi.
Oleh itu sejak pemberian pada tahun 1921, vaksin ini adalah vaksin tunggal yang digunakan secara meluas untuk mencegah tuberkulosis.
Jelasnya lagi, vaksin BCG merupakan vaksin yang paling banyak diberikan secara global dan telah mencapai lebih dari 3 bilion individu, khususnya melalui imunisasi baru lahir rutin seperti yang disyorkan oleh garis panduan WHO.
Di Malaysia, vaksin BCG merupakan salah satu yang ada dalam Program Imunisasi Kebangsaan dan ia diberikan semasa lahir di lengan kiri.
Jika anda mempunyai kesan parut di lengan kiri ia kemungkinan besar adalah vaksin BCG.
