
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular satu rakaman dashcam memaparkan dua individu dipercayai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan polistirena daripada sebuah bonet van.
Polistirena itu kemudiannya diambil oleh dua lelaki sebelum membawanya pergi. Video tersebut menjadi tular sehingga timbul dakwaan penguat kuasa tersebut mengambil rasuah dan sebagainya.
View on Threads
DBKL jelaskan dakwaan penguat kuasa pulangkan barang sitaan kepada penjaja kerana terima rasuah
Terbaharu, pihak DBKL tampil menjelaskan berhubung dakwaan penguat kuasa melepaskan barangan sitaan kepada penjaja warga asing kerana menerima rasuah.
Bukan penjaja warga asing tetapi warganegara tempatan
Ujarnya insiden tersebut berlaku jam 8 malam, pada 7 Jun di Jalan Bukit Bintang yang membabitkan penjaja warga tempatan yang melakukan aktiviti menjual jagung bakar tanpa lesen.
Jelasnya, ekoran itu tindakan tegas telah diambil mengikut Undang-Undang Kecil 3(1) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, di mana petugas DBKL telah menyita peralatan utama perniagaan iaitu satu unit tong gas dan sebuah troli untuk dibawa ke stor sitaan.
Peniaga merayu untuk dapatkan semula bahan makanan, petugas pulangkan jagung & beri amaran keras
“Mengenai tindakan menyerahkan semula kotak polistirena putih seperti yang tular dalam video, ia dilakukan setelah peniaga tersebut merayu untuk mendapatkan semula bahan makanan (jagung mentah) yang mudah rosak.
“Mengambil kira sifat makanan tersebut, petugas memberikan amaran keras dan memulangkan kotak makanan berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tindakan undang-undang untuk peralatan perniagaan masih diteruskan
Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang bagi peralatan perniagaan yang lain masih diteruskan secara konsisten.
DBKL turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam melaksanakan tugas demi kesejahteraan awam.
Tegaskan dakwaan tak benar dan minta orang ramai hentikan sebarang spekulasi
“Untuk rekod, sebanyak lima kes sitaan dan empat notis kompaun telah dikeluarkan di kawasan sekitar pada tarikh yang sama, 7 Jun 2026.
“DBKL memandang serius tohmahan tidak berasas ini dan ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan menyeru agar orang ramai menghentikan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kredibiliti dan reputasi agensi serta menimbulkan salah faham.”
DBKL tunjuk laporan polis dari peniaga
Dalam hantaran sama, DBKL turut menyertakan satu laporan polis yang dipercayai dibuat oleh peniaga terbabit yang menjelaskan barangan bahan makanan mudah rosak itu dipulangkan atas budi bicara DBKL.


