
Tular Rakaman Guru, Murid Redah Banjir Kilat Di SK Padang Jawa
Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa dilapor telah ditenggelami banjir akibat hujan berterusan pada hari ini, lapor Sinar Harian.
Perkara itu sekaligus menamatkan sesi pembelajaran sesi petang di sekolah tersebut selepas kawasan berkenaan dilanda banjir.
Susulan itu, tular video di media sosial memaparkan murid yang terlibat meredah banjir dengan bantuan guru.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam diarahkan ke lokasi kejadian kira-kira jam 5 petang, ketika pihak mereka sedang melakukan rondaan berikutan hujan lebat dan berterusan.
Tiada mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati sekolah itu ditenggelami banjir kerana sistem longkang telah tersumbat akibat dipenuhi sampah sarap.
Sementara itu, banjir kilat dianggarkan setinggi 0.7 meter.
“Anggota bertugas bertindak melakukan pembersihan pada laluan longkang sehingga laluan keluar air dapat berfungsi sepenuhnya.
“Tiada mangsa (terperangkap) dalam kejadian dan air mulai surut jam 5.37 petang sebelum anggota bergerak pulang ke balai,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Menerusi hantaran kemas kini di Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron memaklumkan, semua agensi akan dikerahkan bagi mengatasi masalah banjir kilat berulang.
Sumber: Sinar Harian
The post Tular Rakaman Guru, Murid Redah Banjir Kilat Di SK Padang Jawa appeared first on Siakap Keli.



