Tular Video Guna Kata Kesat & Bersikap Biadap Terhadap 2 Petugas Batik Air, Lelaki Kemboja Didenda RM900

2 Oct 2025 • 10:19 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Semalam (1 Oktober), kecoh di media sosial video seorang lelaki warga Kemboja yang didakwa kononnya seorang VIP bertindak biadab terhadap petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menerusi video tular, kelihatan lelaki yang memakai kot berwarna hitam dan bunga kuning serta putih itu menuangkan air ke atas kepala seorang lelaki yang dipercayai petugas keselamatan.

Bukan itu sahaja, dia turut dilihat membuat kecoh dalam penerbangan dari Hong Kong ke Kuala Lumpur dan didakwa cuba untuk memukul pramugari serta penumpang yang lain.

Tindakannya itu nyata menjadi perhatian hingga ramai yang geram dan mahu pihak berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap lelaki berkenaan.

Lelaki Warga Kemboja Didenda RM900 Gara-Gara Guna Kekerasan & Keluarkan Kata-Kata Kesat

Namun semalam (1 Oktober) media melaporkan Mahkamah Majistret Sepang telah menjatuhkan denda RM900 terhadap lelaki warga Kemboja, Lin Weida kerana menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan.

Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan hukuman tersebut selepas Lin yang berusia 42 tahun mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Dia yang bekerja sebagai ejen pelancongan didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pengawal keselamatan Batik Air di Bangunan Satelit KLIA kira-kira jam 7.50 malam 28 September lalu.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Didenda RM800 Bagi Pertuduhan Pertama & RM100 Bagi Pertuduhan Kedua

Bagi kesalahan ini, Khairul Animah telah menjatuhkan hukuman denda RM800 atau penjara sebulan.

Pada masa yang sama, tertuduh turut didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang kru kabin Batik Air kira-kira jam 5.20 petang dalam penerbangan OD0606 pada hari yang sama (28 September) dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1.

Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang boleh memperuntukkan denda maksium RM100 jika didapati bersalah.

Bagi kesalahan ini, Lin didenda RM100 atau penjara sebulan.

Tertuduh Telah Bayar Denda Atas Kedua-Kedua Kesalahan

Walaubagaimanapun, Lin kemudiannya membayar denda yang telah dikenakan terhadapnya bagi kedua-dua kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim dan Lin diwakili peguam, M Sivam.

Source: