
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular satu video di Threads memaparkan tindakan seorang pemandu bas yang dilihat sedang mengisi satu cecair dari plastik ke dalam botol.
Menerusi video sama, turut kelihatan pemandu bas berkenaan juga sedang memandu apabila kedua tangannya yang sedang mengisi cecair itu turut diletakkan di atas stereng untuk mengawal kenderaan muatan berat itu.
View on Threads
Polis sedang jalankan siasatan berhubung video tular pemandu bas tuang ‘cecair’ dalam botol
Susulan itu, polis memaklumkan mereka kini sedang menjalankan siasatan berhubung video tular berkenaan.
Jelas Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abd Malek Ismail Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pihaknya menerima maklumat berhubung video yang dirakam oleh salah seorang penumpang bas terbabit.
Video itu kemudiannya dimuat naik ke Threads dan menjadi tular.
“Hasil semakan awal mendapati lokasi sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti, namun berdasarkan perbualan di ruangan komen, pemilik akaun itu meluahkan kebimbangan kerana kejadian tersebut berlaku berhampiran kawasan selepas Terowong Menora yang boleh mengancam keselamatan penumpang,” jelasnya, lapor Sinar Harian yang memetik Bernama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis sedang kesan pemilik video
Kata beliau lagi, pihaknya kini sedang mengesan syarikat bas yang tular itu serta kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang awam.
Menurutnya lagi, usaha mengesan pemilik akaun yang memuat naik video berkenaan juga sedang dilakukan.
Oleh itu mana-mana individu yang memiliki maklumat berhubung kes tersebut diminta untuk tampil membantu siasatan.



