Tular Video ‘Prank’ Fasilitator, Tiada Keperluan Mansuh Minggu Orientasi – Zambry

LocalPolitics
4 Oct 2024 • 9:32 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Tiada keperluan bagi memansuhkan pelaksanaan minggu orientasi terhadap pelajar baharu yang mendaftar masuk ke universiti awam (UA).

Tiada keperluan mansuh minggu orientasi

Menurut laporan Berita Harian, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelaksanaan tersebut adalah untuk memastikan mahasiswa dan mahasiswa dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.

“Mungkin ada masalah di sesuatu tempat, tetapi janganlah kita melihat satu pandangan dan terus mengatakan seolah-olah orientasi ini sudah tidak sesuai, (yang bermasalah) mungkin ada satu (atau) dua tempat saja.

“Orientasi itu seharusnya menjadi program untuk menyesuaikan diri (membabitkan) pelajar baharu yang datang ke sebuah universiti, kolej dan sebagainya bagi tempoh yang panjang, mungkin ada yang empat tahun, ada tiga tahun,” katanya.

image is not available

Foto: Bernama

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024 di Putrajaya pada Khamis.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan beberapa fasilitator di sebuah UA di Segamat, Johor melakukan kejutan atau ‘prank’ dengan bertengkar sesama sendiri sebelum menyambut ulang tahun kelahiran salah seorang rakan mereka.

image is not available

Foto: Tangkap layar video tular

Sementara itu, Zambry berkata, UA perlu melaksanakan pengisian minggu orientasi yang lebih bersesuaian sebagai pendekatan untuk pelajar baharu.

“Pengisiannya penting sebagai proses sosialisasi untuk pelajar mengenali antara satu sama lain, keduanya untuk penyesuaian diri mereka dengan tempat (universiti) berkenaan dan ketiga dari segi membina tradisi penting,” ujarnya.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah memaklumkan kepada pengurusan UA mengenai video tular itu selain berharap perkara berkenaan tidak berulang di masa hadapan.