
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular satu video di media sosial memaparkan seorang pelajar lelaki yang bertindak menendang seorang kanak-kanak di tempat awam.
Dalam video tersebut kelihatan pelajar lelaki berbaju biru menendang budak berkenaan di bahagian perut.
Pelajar usia 14 tahun dituduh ganggu teman wanita
Terbaharu polis mengesahkan pelajar berusia 14 tahun tersebut ditendang rakan akibat dituduh mengganggu teman wanita dalam insiden yang berlaku di padang bola di Taman Uda, Alor Setar, Kedah pada 16 Jun yang lalu.
Dalam video yang tular itu kelihatan tiga remaja terbabit duduk di bahagian bangku batu sebelum salah seorang dari mereka bertindak menendang budak lelaki berkenaan.
Remaja lelaki tersebut dilihat berada dalam keadaan menahan kesakitan sebelum rebah ke tanah.
Tidak lama kemudian kelihatan individu sama sekali lagi bertindak menendangnya.
Bapa mangsa hanya ketahui anak ditendang selepas empat hari lepas insiden
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Hilmi Ahmad perkara tersebut hanya diketahui oleh bapa remaja, 53, itu selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya berhubung video berkenaan empat hari selepas kejadian berlaku.
Insiden berbabit dikatakan berlaku sewaktu remaja lelaki itu keluar bermain bola bersama rakan d ikawasan kejadian berlaku.
Seorang lagi suspek didakwa menolak mangsa guna kaki sampai jatuh
“Hasil siasatan mendapati salah seorang suspek bertindak menendang mangsa di bahagian perut sehingga mangsa rebah ke tanah sebelum sekali lagi menendangnya di bahagian sisi badan.
“Selepas mangsa rebah, seorang lagi suspek yang berada berhampiran didakwa telah menolak mangsa menggunakan kaki sehingga mangsa terjatuh lebih jauh. Mangsa menyatakan bahawa hanya suspek (pertama) yang menendangnya,” ujarnya, lapor Kosmo.
Suspek pukul mangsa sebaik terima maklumat dari kawan
Jelas Hilmi lagi menerusi keterangan remaja berkenaan suspek bertindak memukulnya sebaik menerima maklumat dari rakan bahawa dia mengganggu teman wanitanya.
“Walau bagaimanapun, mangsa menafikan dakwaan (ganggu teman wanita) berkenaan.”
Mangsa dan dua suspek merupakan kenalan sejak darjah satu
Berdasarkan hasil siasatan mendapati mereka adalah kenalan sejak darjah satu selain menetap di taman perumahan yang terletak bersebelahan.
“Berdasarkan keterangan pengadu, sebelum ini tidak pernah berlaku sebarang perselisihan atau masalah antara mangsa dengan kedua-dua suspek. Ketiga-tiga mereka merupakan rakan sebaya yang belajar di kelas dan sekolah yang sama,” jelasnya lagi.
Tak mahu besarkan isu, pelajar tak bagitahu pihak sekolah dan ibu bapa
Ujar beliau lagi, remaja itu bagaimanapun tidak memaklumkan insiden terbabit kepada pihak sekolah termasuk ibu bapa disebabkan enggan membesarkan isu tersebut.
“Pihak sekolah dan waris mangsa hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas rakaman video insiden ditularkan di media sosial oleh individu yang tidak dikenali.”
Mangsa turut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

