Tular Video Tentera Laut China Dalam Sebuah Program Di Pulau Pinang, Ini Penjelasan Exco Negeri

LocalPolitics
9 Oct 2024 • 12:02 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Baru-baru ini, tular di media sosial video yang memaparkan suasana sebuah program yang diadakan di Swettenham Pier Cruise Terminal, George Town, Pulau Pinang.

Apa yang menjadi perhatian adalah kelibat beberapa individu memakai uniform berwarna putih yang dipercayai tentera laut daripada China.

Melalui perkongsian oleh seorang pengguna TikTok, dapat dilihat lebih 10 orang individu yang terdiri daripada kumpulan askar berkenaan dan beberapa individu lain menghadiri program tersebut.

Difahamkan, anggota beruniform itu merupakan tentera laut Chinese People Liberation (PLA) berdasarkan kepada perkataan yang tertera pada banner dalam video yang tular itu.

Video tanpa maklumat lanjut tersebut mendapat perhatian ramai hingga timbul persoalan dan rasa bimbang dalam kalangan mereka.

Rupanya Lawatan Rasmi Ke Pulau Pinang

Terbaharu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai menjelaskan video yang tular itu sebenarnya merupakan kunjungan silaturahim dua kapal latihan dari China bersama pelajar Naval University of China.

Jelasnya, kunjungan pada Sabtu (5 Oktober) lalu dibuat mengikut saluran rasmi. Malah, ia turut dihadiri oleh Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang serta beberapa pemimpin kerajaan negeri dan orang kenamaan.

“Dua kapal pelatih tersebut berlabuh selama tiga hari di sini dan sudah beredar menuju ke Chittagong, Bangladesh.

“Kunjungan pelatih-pelatih dari Naval University of China ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) adalah atas hubungan pelajar dengan pelajar selain penganjuran aktiviti sukan dan kebudayaan. Kunjungan tersebut diuruskan oleh Pejabat Konsulat General China di Pulau Pinang.

“Oleh demikian, saya mohon orang ramai tidak membuat sebarang andaian tidak betul yang boleh mengganggu-gugat masyarakat,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Bukan Kapal Pertama Yang Singgah Di Pelabuhan Malaysia

Jelas Wong lagi, kunjungan kapal Latihan dari China itu bukanlah kapal asing yang pertama singgah di Pelabuhan Malaysia.

“Sebelum ini, kapal-kapal tentera laut negara asing lain juga pernah berlabuh di pelabuhan di Malaysia dan kunjungan mereka juga dibuat melalui saluran rasmi serta mengikut protokol.

“Dalam hal ini, ia melibatkan pelatih dari universiti dan mereka dalam perjalanan dari China menuju ke Bangladesh. Dua buah kapal itu berhenti seketika di sini sebelum memulakan latihan laut di Lautan Hindi,” katanya.

Mohon Orang Ramai Henti Buat Spekulasi

Wong turut mengingatkan orang ramai bahawa Malaysia mempunyai hubungan baik dengan negara China apabila pemimpin masing-masing telah melawat antara satu sama lain.

“Oleh itu, lawatan silaturahim kapal pelatih bersama pelajar-pelajar Naval University of China hendaklah dilihat dari sudut yang positif.

“Jangan ada yang cuba membuat spekulasi kerana apa yang cuba dikatakan di media sosial adalah tidak benar sama sekali,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang telah mengumumkan kunjungan seramai 1,000 pelatih tentera laut China bagi kunjungan silaturahim.

Tentera laut yang dikenali sebagai Pasukan Tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) menaiki dua buah kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China.

Pelatih-pelatih berkenaan dibawa melawat beberapa tempat menarik di sekitar Pulau Pinang selain berinteraksi bersama penduduk tempatan sewaktu sesi lawatan tersebut.

Speech by YB Wong Hon Wai Penang State Executive Councillor for Tourism and Creative Economy Welcoming the China PLA…

Posted by Wong Hon Wai 黄汉伟 on Sunday 6 October 2024

Baca Artikel Berkaitan:

Source: