Tular Zul Ariffin Ke Al-Ula, Ini Perkara Penting Yang Perlu Diketahui Tentang Kota Larangan Ini

6 Sep 2023 • 6:17 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sebelum ini, hangat di media sosial apabila orang ramai membincangkan mengenai pelakon lelaki terkenal, Zul Ariffin yang berkunjung ke Al-Ula.

Al-Ula atau dikenali sebagai Kota Madain Soleh terletak di wilayah utara Hijaz, Arab Saudi.

Zul melawati kota Al-Ula

Perkara itu dikongsikan oleh Zul di Instagram menerusi beberapa muat naik memaparkan dirinya sedang berada di kota tersebut.

Perkongsian pelakon itu secara tidak langsung telah mengundang perhatian ramai yang kurang bersetuju dengan keberadaannya di kota terbabit.

Untuk makluman, kota Al-Ula merupakan antara tempat yang dilaknat oleh Allah SWT untuk dikunjungi.

Harap dapat beri pengajaran pada orang ramai

Zul bagaimanapun dalam satu lagi muat naik memaklumkan dia mempelajari pelbagai perkara sepanjang berada di sana dan berharap agar semua dapat menjadikannya sebagai pengajaran.

“Alhamdulillah banyak belajar hari ini. Kawasan yang mempunyai banyak cerita mengelirukan, hanya dengan melawat dan meluangkan masa, mendengar dan mempelajarinya daripada rakyat tempatan anda akan mengetahui sejarah sebenar.

“Ia sebenarnya adalah bahagian penting di dalam sejarah agama Islam kita. Semoga kita semua ambil pengajaran,” tulisnya di ruang kapsyen.

Berikut antara komen diberikan oleh netizen dalam muat naik Zul:

“Kota larangan ni.. kenapalah pergi situ, kalau tak tahu takpelah. Kalau dah tahu Allahu”

image is not available

“Allah SWT dan Nabi SAW dah larang untuk pergi tempat ni. Kalau terlalu pun Nabi suruh cepat-cepat pergi tanpa memandang kanan dan kiri.. tapi sayangnya masih lagi boleh duduk berselfie? Nak cabar siapa bang?

image is not available


Apa itu kota Al-Ula atau Madain Soleh?

Madain Soleh atau Al-Ula merupakan kota Nabi Saleh AS dan ketika zaman itu kawasan ini diduduki oleh kaum Tsamud dan Nabatean.

Kaum Tsamud hidup sekitar 3,000 tahun yang lalu sebelum masihi atau diringkaskan di antara zaman Nabi Nuh AS sehingga Nabi Musa AS.

Dapat pengiktirafan UNESCO

Kawasan ini juga telah mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kaum Tsamud mengamalkan ajaran pagan dan Allah SWT memerintahkan Nabi Saleh AS untuk menyebarkan dakwah ke kota Al-Ula.

Namun dakwah yang dibawa oleh Nabi Saleh AS tidak dihiraukan kaum Tsamud dan Allah SWT menurunkan bencana kepada individu yang tidak mengikut perintahNya.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.” (Surah Hud, ayat 67)

Allah SWT berfirman: “Maka (masing-masing menerima azab dunianya) – adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya. Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.” (Surah Al-Haqqah, ayat 5-7).

Kota Al-Ula kini dijadikan sebagai tempat pelancongan

Walau bagaimanapun di sebalik sejarah kota berkenaan, kawasan tersebut kini sedang dibangunkan untuk menjadi tempat pelancongan selepas kerajaan Arab Saudi melakukan dasar terbuka.

Malah visa pelancongan turut ditawarkan sejak tahun 2019 lagi bagi menggalakkan industri pelancongan.

Kawasan ini terkenal dengan gunung-ganangnya kerana kaum Nabatean atau Tsamud mempunyai kelebihan dalam memahat gunung bagi membina rumah serta makam dan menghasilkan ukiran yang cantik.

Menurut pengalaman diceritakan oleh seorang penulis Harian Metro yang berkesempatan ke sana terdapat ukiran pada batu yang berbentuk lukisan dengan simbol tulisan kuno kaum berkenaan.

Selain itu, kawasan ini turut dihiasi dengan pelbagai bentuk batu yang unik.

Apakah hukum melawat kota larangan atau tempat yang dilaknat oleh Allah SWT?

Tidak dinafikan adakalanya kawasan yang dilaknat ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada masyarakat yang ingin mengetahui lebih lagi mengenainya.

Menerusi semakan kami terdapat beberapa tempat yang dilarang dan dilaknat oleh Allah SWT seperti:

  • Laut Mati.
  • Laut Merah.
  • Kota Pompei.
  • Al-Ula atau Madain Soleh.
  • Wadi Muhassar atau Lembah Muhassir.
  • Negeri kaum ‘Ad terletak di utara Hadramaiut antara Yaman dan Oman.

Mungkin pengalaman hanya mendengar atau membaca membuatkan seseorang tidak puas dan mahu berkunjung ke kawasan terbabit untuk melihat sendiri tempat bersejarah ini.

Namun dalam pada itu, ada juga yang takut sekiranya ia boleh mendatangkan dosa memandangkan ia termasuk di dalam kawasan yang dilaknat oleh Allah SWT.

Menurut Harian Metro, hukum untuk melawat tempat yang dilaknat adalah makruh dan sebagai umat Islam tidak melawat ke tempat terbabit atau sekadar lalu sahaja untuk mengambil pengajaran kepada azab diturunkan oleh Allah SWT.

Namun kami juga sudah cuba menghubungi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan hukum dan maklumat lanjut berhubung isu ini.

Artikel ini akan dikemaskini sebaik sahaja mendapat jawapan daripada Pejabat Mufti WP.

Baca artikel berkaitan:

Via: