
PANDEMIK Covid-19 menjadi titik perubahan besar yang mengubah landskap ekonomi global daripada bergantung kepada urus niaga secara fizikal kepada ekosistem digital. Transformasi moden dan fleksibel itu membuka ruang kepada transaksi lebih pantas serta lancar dari mana-mana lokasi tanpa terikat dengan sempadan geografi atau kekangan masa.
Aplikasi Tulus merupakan salah satu ekosistem digital yang dibangunkan bagi memudahkan pembayaran zakat dibuat dengan selamat.
Jika sebelum ini, pembayaran zakat dilakukan secara bersemuka kepada amil, namun kini ia boleh dilakukan dengan aplikasi Tulus yang dibangunkan oleh Tulus Digital Sdn. Bhd. (Tulus).
Menariknya, e-Amil yang dilantik dalam aplikasi Tulus telah mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam negeri untuk melakukan pungutan zakat.
Menurut Pengarah, Ketua Pegawai Operasi Tulus, Shahril Emran, masyarakat semakin beralih kepada persekitaran ekonomi digital yang mudah diakses dan menjimatkan masa, terutamanya selepas pandemik Covid-19.
“Sebelum penularan pandemik Covid-19, pembayaran zakat dilakukan menerusi kaedah konvensional iaitu pembayaran terus kepada amil secara bersentuhan (bersalaman).
“Bagaimanapun, situasi itu berbeza apabila Covid-19 melanda negara hingga mengekang proses pembayaran bersemuka mahupun bersentuhan. Sejak itu, medium pembayaran zakat secara digital dilihat sebagai langkah efisien yang sesuai dengan persekitaran pada waktu itu, dan ia berterusan sehingga ke hari ini,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.
Dibangunkan sekitar 2019, aplikasi Tulus direka untuk memastikan ibadah dan kebajikan dapat dilakukan tanpa perlu beratur panjang atau rasa bimbang terhadap keselamatan transaksi.
Selain itu, para pengguna boleh membuat pembayaran tanpa perlu pergi ke kaunter, menunggu giliran atau menguruskan dokumen secara manual.
Tulus juga menggunakan platform PayNet (Payments Network Malaysia Sdn. Bhd.) sebagai sistem keselamatan dan rangkaian pembayaran rasmi aplikasi.
Pembayaran digital yang tulus dan mengikut maya nyata itu membolehkan dana diterima terus oleh pihak pengurusan 11 agensi zakat negeri.
Ketika ini, umat Islam sudah boleh menunaikan rukun Islam ketiga dengan mudah melalui platform Tulus yang membolehkan pelbagai jenis bayaran zakat dibayar menerusi transaksi digital.
Pelbagai pembayaran zakat boleh dilakukan dengan aplikasi Tulus meliputi zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat saham, zakat wang simpanan, zakat ternakan, zakat pertanian, zakat rikaz dan galian, zakat KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), zakat emas perhiasan, zakat emas simpanan serta zakat perak.
Pendigitalan turut membantu institusi mengurus transaksi dan laporan kewangan lebih tersusun, sekali gus menghubungkan pembayar, institusi agama dan perkhidmatan kewangan dengan lebih bersepadu.
“Kami bertindak sebagai perantara atau pemudah cara untuk membantu pengguna membuat pembayaran mengikut kesesuaian masa mereka, dan selari dengan gaya hidup masa kini.
“Pembayaran dibuat mengikut pematuhan syariah, di mana kami tidak menyimpan dana tersebut.
“Sebaliknya, agensi akan menerima pembayaran terus dan maklumat pembayaran juga disertakan lengkap pada carta pembayaran, manakala resit rasmi akan dikeluarkan selepas tiga hari bekerja.
“Namun, aplikasi Tulus bukan bertujuan untuk menggantikan sepenuhnya kaedah manual. Sebaliknya, aplikasi ini adalah salah satu saluran yang memberi pilihan kepada masyarakat membayar zakat,” katanya.
Memiliki lebih 550,000 pengguna aktif, aplikasi Tulus membuktikan bahawa teknologi digital mampu mentransformasikan urusan ibadah dengan menawarkan proses yang lebih mudah, efisien dan selari dengan keperluan masyarakat masa kini.
Pendekatan keselamatan siber dibuat secara berperingkat merangkumi kawalan akses, perlindungan komunikasi dan data termasuk pemantauan sistem keselamatan di kemas kini.
“Sistem kami menggunakan pengesanan KYC (Know Your Client), di mana proses pengesahan identiti dilakukan oleh syarikat sebelum meluluskan akaun pelanggan baharu.
“Kaedah ini untuk memastikan pengguna adalah individu sebenar tanpa identiti palsu.
“KYT juga menjalankan proses pemantauan berterusan secara masa nyata dan setiap transaksi dilakukan dapat disemak oleh pengguna,” ujarnya.
Selain bertindak sebagai salah satu cabang pembayaran zakat, kewujudan aplikasi Tulus mampu mendidik dan membangunkan kesedaran tentang tanggungjawab pembayaran zakat, terutamanya kepada golongan muda.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Tulus, Hafizzul Ariffin, pendekatan teknologi bukan sahaja memudahkan, malah menjadikan proses pembayaran zakat secara digital dengan berlandaskan patuh syariah.

“Kami faham, ada segelintir orang agak skeptikal sama ada bayaran dalam talian sah dari segi akad atau tidak terutama bagi kumpulan warga emas.
“Namun apa yang jelas, aplikasi ini disertakan dengan akad yang mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam sebelum pembayaran dibuat.
“Sebagai individu yang terlibat dalam kewangan sosial Islam, tujuan kami adalah untuk merancakkan pengumpulan serta pengagihan kepada golongan yang tepat,” ujarnya.
Selain itu, pembayaran secara dalam talian bukan bertujuan menafikan hak amil kerana aplikasi Tulus turut menyediakan kod QR bagi memudahkan pembayaran zakat fitrah terus kepada amil.
Kaedah tersebut secara tidak langsung membolehkan amil mengenal pasti transaksi dan jumlah pembayaran yang dibuat dalam satu-satu masa.
“Bagi amil yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam negeri, kami akan sediakan kod QR kepada mereka, sekali gus membolehkan proses pembayaran dibuat terus seperti kaedah manual.
“Akad yang disediakan pada aplikasi ini juga mendapat kelulusan dan semuanya mengikut peraturan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam kerana matlamat Tulus bukan sahaja memudahkan, malah turut berlandaskan agama,” katanya.
Bagi memberikan lebih banyak ruang beribadah, aplikasi itu turut menyediakan beberapa kemudahan lain seperti sedekah, wakaf dan infak. Menariknya, para penerima sedekah terdiri daripada masjid, surau, rumah anak yatim, sekolah serta badan bukan kerajaan berdaftar dan disaring.
“Setiap kemudahan sedekah, wakaf dan infak ini mempunyai penerima atau institusi yang disahkan dan diyakini wujud. Jadi, pengguna tidak perlu ragu-ragu untuk melakukan transaksi.
“Pendekatan ini memudahkan pengguna untuk melakukan derma atau sedekah subuh secara berkala atau mengikut kesesuaian,” katanya.
Selain itu, aplikasi tulus turut menyediakan kemudahan bacaan al-Quran dan takaful kepada para pengguna.
The post Tulus aplikasi kewangan Islamik, mudahkan bayar zakat appeared first on Kosmo Digital.

