
BANGKOK: Tumbuhan kecil yang jarang ditemui dikenali sebagai ‘mata burung hantu’ atau Phitsawong Ta Nok Huk muncul di kawasan hutan daerah Umphang di Tak ketika musim hujan, sekali gus menarik perhatian pencinta alam semula jadi dan pelancong.
Tumbuhan yang dikenali secara saintifik sebagai Thismia thaithongiana itu ditemui ketika tinjauan pada 17 Ogos yang disertai pejabat Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), kumpulan pelancongan dan Santuari Hidupan Liar Umphang.
Tinjauan itu dijalankan di sekitar Doi Hua Mot di daerah Umphang, lokasi beberapa tumbuhan berkenaan ditemui tumbuh dan mula berbunga.
Tumbuhan itu sukar dikesan kerana saiznya amat kecil dan tumbuh berhampiran permukaan tanah hutan, menyebabkan ia mudah terselindung dalam persekitaran sekeliling. Keistimewaan paling ketara ialah bentuknya yang menyerupai sepasang mata burung hantu.
Spesies itu muncul ketika musim hujan dan kini boleh dilihat di Umphang sehingga sekitar Oktober.
Tumbuhan berkenaan turut mempunyai hubungan dengan kulat dalam tanah, mencerminkan kaitan antara pelbagai organisma dalam ekosistem hutan.
TAT berkata, pengunjung yang ingin mencari tumbuhan itu perlu berjalan dengan berhati-hati dan memerhati kawasan sekeliling dengan teliti.
Kamera atau telefon bimbit boleh digunakan untuk memperbesarkan imej bagi mendapatkan pandangan lebih jelas tanpa mengganggu tumbuhan berkenaan.
Pengunjung juga dilarang memetik atau merosakkan tumbuhan itu serta mengamalkan pelancongan bertanggungjawab bagi membantu melindungi spesies berkenaan dan hutan Umphang di sekitarnya.
The post Tumbuhan ‘mata burung hantu’ ditemukan di hutan Tak appeared first on Utusan Malaysia.
