
Kota Kinabalu: Sabah memberi tumpuan kepada pengindahan Ibu Negeri, menaik taraf dan membaik pulih semua kemudahan pelancongan sedia ada selain mencipta produk pelancongan baharu sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2025.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata beliau telah membuat representasi kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Persekutuan Datuk Seri Tiong King Sing berhubung perkara itu.
“Menteri Persekutuan telah bersetuju untuk menelitinya dan akan datang ke Sabah untuk meninjau sendiri keperluan kita,” kata Liew ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Kaamatan Kota Kinabalu di Pusat Beli-Belah Imago, di sini pada Sabtu.


