
KUALA LUMPUR – Ketua jururawat dalam pasukan perubatan yang menjaga Tun Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali, K Divya Barathy, 30, mendedahkan Allahyarham mengucapkan terima kasih sehari sebelum meninggal dunia.’
Allahyarham sempat mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan atas jasa mereka menjaganya dan suami, Tun Mahathir sebelum pemergiannya, pada Isnin lalu.
“Sehari sebelum pemergiannya, Tun Hasmah ada menyampaikan bahawa sudah tiba masanya untuk beliau pergi. Beliau juga berterima kasih kerana kami menjaganya dan suami. Saya menjawab, ‘Janganlah cakap begitu Tun’.
“Saya tidak menyangka bahawa keesokan paginya, beliau akan pergi. Kata-kata itu masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya sehingga kini. Kehilangan ini sangat berat untuk saya terima,” jelasnya.
Dia menyatakan, tugasnya menjaga pasangan itu sejak lima tahun lalu sebagai ketua jururawat dan dibantu tiga jururawat lain iaitu Tiffany Chen Kah Lim, 28, M Suganya, 29, dan Nur Shahnila Amyra Mohd Saad, 31, selain dibantu fisioterapis, Choo Zhang Hui atau dikenali Kevin Choo, 31.
Sepanjang berada di sisi Tun Mahathir ketika pengebumian, katanya, tumpuan mereka adalah memastikan beliau selesa dan memberikan sokongan yang diperlukan.
“Kami membantu menjaga kebersihan tangan, mengurut perlahan kakinya untuk keselesaan dan sentiasa berada berhampiran.
“Saya sendiri rasa sukar untuk sekadar berkata, ‘Tak apa, Tun’ atau ‘Tun kena kuat’, kerana saya melihat betapa eratnya kasih sayang mereka.
“Saya tidak mahu mengecilkan kesedihan beliau dengan kata-kata yang terlalu mudah. Pada waktu itu, kami hanya mahu beliau tahu bahawa kami ada di sisinya,” katanya.
The post Tun Hasmah ucap terima kasih sehari sebelum ‘pergi’ – Ketua jururawat appeared first on Kosmo Online.






