Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini genap 100 tahun, satu pencapaian usia luar biasa bagi tokoh negarawan yang pernah menerajui negara selama lebih dua dekad.
Anak sulung beliau, Datin Paduka Marina Mahathir dalam satu kenyataan meluahkan rasa syukur kerana bapanya masih sihat dan bersama keluarga, meskipun pernah melalui saat getir pada tahun 2007 apabila menjalani dua pembedahan jantung dalam tempoh dua minggu.
“Ada masanya kami betul-betul tak sangka akan sampai ke hari ini, terutama ketika ayah menjalani dua pembedahan jantung pada 2007 dan ambil masa lama untuk pulih. Tapi dengan izin Allah SWT, beliau berjaya melaluinya, dan hari ini kami masih dapat meraikannya,” katanya.
Marina syukur bapa masih sihat
Menurut Marina, beliau dan ahli keluarganya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) termasuk pakar bedah, pakar bius, jururawat, ahli fisioterapi dan pakar pemakanan yang telah merawat dan menjaga Dr Mahathir dengan penuh dedikasi.
Katanya, walaupun usia ayahandanya sudah mencecah satu abad, kesihatan beliau masih dalam keadaan baik dan aktif, walaupun ada tanda-tanda penuaan seperti kulit yang menipis dan daya pendengaran serta ingatan yang kadangkala sedikit terjejas.
“Namun kami tetap bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana kami tahu suatu hari nanti kami perlu menghadapinya. Dan kami hanya mampu berdoa semoga Allah mempermudahkannya,” katanya.
Tambah Marina, beliau dan seluruh keluarga termasuk adik-beradik, anak-anak, cucu serta cicit amat bersyukur kerana masih dapat bersama Tun M, atau lebih mesra digelar sebagai Daddy, Tok Det, atau Nyang dalam kalangan mereka.
“Masih boleh berbual, ketawa, bermain dan memeluknya. Dan yang paling penting, beliau masih ditemani pasangan hidup tersayang, iaitu Ibu, di sisinya.
“Selamat hari lahir Daddy! Semoga Daddy terus sihat dan bertenaga seperti sekarang. Kami semua amat menyayangi Daddy,”nukil Marina di Facebook.