TANGGAL 14 Januari lalu, genap 50 tahun pemergian Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Saya mahu mengimbas kembali detik selepas tragedi 13 Mei, apabila Tun Razak mentadbir melalui undang-undang darurat selama dua tahun.
Beliau menubuhkan majlis perundingan negara. Beliau memahami punca krisis dan merangka pembaharuan besar seperti Dasar Ekonomi Baharu, Rukun Negara dan konsep perpaduan.
Sepertimana dihuraikan Pengerusi Yayasan Tun Razak, Tan Sri Nazir Razak, ciri utama kepimpinan Tun Razak ialah penekanan terhadap pelaksanaan.
Tun Razak mempunyai visi jelas dan memberi inspirasi tentang masa depan. Beliau tidak pernah menolak sebarang maklum balas dan kritikan diterima. Baginya, memimpin bukan menguasai tetapi menyembuhkan. Pemimpin yang menyembuhkan adalah mereka yang mendengar sebelum berbicara. Itulah Tun Razak.
Tun Razak tidak datang dengan pedang tetapi dengan telinga yang mendengar. Beliau bukan pemimpin bergerak dalam zon selesa tetapi berada di tengah putaran politik kompleks, sering menjadi fokus kritikan dan perdebatan.
Pandangan dan pendapat parti komponen sentiasa diambil perhatian.
Bekas Presiden MIC, Tun Samy Vellu pernah satu ketika dahulu berkata 'MIC akan tenggelam atau berenang bersama UMNO'. Laungan tokoh MIC ini diterima dalam kalangan akar umbi parti.
Jika benar MIC keluar daripada Barisan Nasional (BN), kesannya tetap ada untuk gabungan itu yang akan kehilangan wakil etnik India secara rasmi dalam komponennya.
Ini kerana MIC adalah parti tertua mewakili masyarakat India sejak penubuhan BN. Ia akan melemahkan konsep konsensus antara parti pelbagai etnik BN iaitu kerjasama UMNO (Melayu), MCA (Cina) dan MIC (India) yang menjadi asas legitimasi BN selama berdekad.
UMNO pula akan kehilangan rakan strategik penting khususnya di kerusi marginal yang sebelum ini bergabung kepada undi masyarakat India.
Tun Razak mempunyai kebolehan bina jambatan politik merapatkan jurang antara parti etnik dan wilayah bagi memastikan kestabilan berterusan.
Ketika BN ditubuhkan pada era zaman beliau, terdapat beberapa perkara asas yang menjadi pegangan UMNO, MCA dan MIC.
Kita menerima hakikat negara ini ialah sebuah negara majmuk di mana setiap rakyat memainkan peranan penting dan kita menghormati semangat kebersamaan semua kaum.
Era Tun Razak memang mewujudkan landasan terbaik untuk kestabilan politik.
Bersempena genap 50 tahun pemergian bapa pembangunan ini, Tun Razak adalah arkitek BN yang harus dititikberatkan di sini.
Kerajaan perpaduan sebenarnya sudah muncul semasa era beliau. Di bawah konsep payung besar, parti seperti Pas, Gerakan dan PPP menjadi parti komponen BN. Ketika krisis pimpinan MIC tercetus antara Tun Sambanthan dan Tan Sri Manickavasagam, Tun Razak memainkan peranan hebatnya sebagai Pengerusi BN.
Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, beliau menjadi tetamu khas di mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC.
Timbalan Presiden MIC, Tan Sri Athi Nahappan dilantik sebagai Timbalan Menteri Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri sebelum dinaikkan pangkat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Tun Hussein Onn pada 1976. Dengan memperuntukkan dua portfolio penuh kabinet untuk MIC, kerajaan mengiktiraf kaum India sebagai satu komuniti.
Era gilang-gemilang MIC pada masa era Tun Razak harus direnung kembali.
*Peruji Perumal ialah Penolong Pengarang Malaysia Nanban

