TuneTalk sedia melakukan perubahan pada aplikasi mereka, dimana ia tidak terhad pada penawaran perkhidmatan telekomunikasi sahaja, tetapi sebaliknya dilihat memfokuskan gaya hidup digital, dan turut telah menambah sokongan hab kandungan seperti drama pendek dan juga permainan video. Tidak setakat itu, kini TuneTalk turut mengatakan akan menambah sokongan edagang dalam kemaskini akan datang.

Dinamakan TuneTalk Shop, ia dijangka menawarkan lebih 20,000 SKU, meliputi barangan kosmetik, peralatan rumah, dan sebagainya. Ia akan beroperasi seperti perkhidmatan edagang lain, termasuk penghantaran terus ke rumah. TuneTalk melalui integrasi pembayaran TNG eWallet dan lain juga dijangka memudahkan proses pembayaran untuk pembelian.
Dengan langkah ini, angka pengguna aplikasi TuneTalk dijangka terus meningkat. Terbaru, ia dikatakan telah mencapai 1 juta pengguna. Pada masa yang sama, TuneTalk turut menyasarkan meningkatkan pendapatan mereka melalui penawaran perkhidmatan sampingan ini, dan tidak bergantung kepada pendapatan melalui perkhidmatan telekomunikasi sahaja.
Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan pelancaran TuneTalk Shop secara rasminya pada bulan April ini.

