Tunggu masa bergelar ayah, Sufian Suhaimi akui berdebar bakal sambut cahaya mata sulung – 'Jangan panggil Baby Pian lagi'

EntertainmentFamily & Parenting
14 Apr 2026 • 10:20 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Tunggu masa bergelar ayah, Sufian Suhaimi akui berdebar bakal sambut cahaya mata sulung – 'Jangan panggil Baby Pian lagi'

KURANG beberapa minggu saja lagi, hidup Sufian Suhaimi bakal berubah sepenuhnya.

Penyanyi yang pernah mencuri perhatian menerusi lagu Di Matamu itu kini hanya menunggu detik untuk bergelar bapa apabila isterinya, Rania Al Sadat, sudah menghampiri minggu-minggu akhir kehamilan.

Dalam keterujaan, terselit juga debar, satu perasaan yang mungkin sukar dijelaskan, tetapi cukup difahami bagi mereka yang bakal menimang cahaya mata pertama.

Menurut Sufian, penantian itu kini seolah-olah berada di fasa ‘countdown’ apabila kandungan isterinya sudah hampir mencecah 37 minggu.

“Ya, betul. Saya bakal jadi seorang bapa. Lepas ini jangan panggil saya Baby Pian lagi… dah tak lama dah.

"Kami sebenarnya tengah tunggu masa saja,” katanya berseloroh, namun jelas nada suaranya menggambarkan keterujaan yang sukar disembunyikan.

Berkongsi lanjut, mereka juga sudah membuat hampir semua persiapan bagi menyambut kehadiran cahaya mata pertama dalam keluarga kecil mereka.

Dari kelengkapan bayi hinggalah ke keperluan asas, semuanya sudah tersedia. Namun, seperti kebanyakan bakal ibu bapa lain, dia mengakui persediaan emosi dan mental adalah cabaran sebenar.

Image from: Tunggu masa bergelar ayah, Sufian Suhaimi akui berdebar bakal sambut cahaya mata sulung – 'Jangan panggil Baby Pian lagi'

“Kalau dari segi barang memang semua dah siap. Tapi emosi dan mental tu masih berdebar.

"Bila tanya kawan-kawan pun, tak ada siapa yang betul-betul 100 peratus bersedia bila nak dapat anak pertama,” kongsinya jujur.

Tambahnya lagi, perasaan itu datang bersama rasa teruja yang sukar digambarkan, apatah lagi apabila memikirkan kehadiran insan baharu yang bakal mengubah seluruh rutin kehidupannya.

Tidak hanya bergantung kepada pengalaman orang sekeliling, Sufian juga mengambil inisiatif menghadiri kelas antenatal sebagai persediaan awal menjadi seorang bapa.

Malah, dia turut menjadikan platform seperti TikTok sebagai rujukan tambahan untuk mendapatkan pelbagai tip keibubapaan daripada perkongsian pengguna lain.

Dalam pada itu, Sufian memilih untuk tidak mendedahkan jantina bayi mereka buat masa ini. Namun, dia mengakui sudah mempunyai beberapa cadangan nama sebagai persediaan awal menyambut kelahiran tersebut.

Untuk rekod, Sufian dan Rania mendirikan rumah tangga pada 2 Mei tahun lalu, dan kini, selepas setahun melayari kehidupan berdua, mereka bakal melangkah ke fasa baharu sebagai ibu dan bapa.

Daripada dunia muzik ke dunia keluarga, perjalanan hidup Sufian kini memasuki bab yang lebih bermakna, menanti kehadiran seorang anak yang bakal melengkapkan segalanya.