Tunku Azizah pelawa masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran ke penempatan baharu milik baginda

20 Jul 2026 • 11:50 AM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

Tunku Azizah pelawa masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran ke penempatan baharu milik baginda

KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa simpati dan dukacita serta prihatin terhadap isu pertikaian tanah yang membabitkan masyarakat Orang Kita di Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang.

Tunku Azizah mengikuti perkembangan yang berlaku dan amat memahami kegusaran serta kesulitan yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Kita di kawasan berkenaan.

Menurut suatu kenyataan media, Tunku Azizah berkata Masyarakat Orang Kita bukan sekadar sebahagian daripada rakyat negeri Pahang, “bahkan sentiasa mempunyai tempat yang amat istimewa di hati Paduka Baginda.”

“Berdasarkan tesis yang sedang disiapkan oleh Tunku Azizah ketika ini, peranan Orang Kita amat penting dalam kemajuan negeri sejak dahulu lagi. Atas dasar itu, kesejahteraan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda,” tambah kenyataan tersebut.

“Atas rasa kasih dan tanggungjawab tersebut, Paduka Baginda dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot yang memerlukan penempatan untuk tinggal di tanah milik Paduka Baginda di Kuala Wau, Maran.”

Tunku Azizah turut menegaskan bahawa masyarakat Orang Kita tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka.

Sekiranya tanah milik baginda di Kuala Wau itu dibangunkan pada masa hadapan, Tunku Azizah akan memastikan masyarakat Orang Kita yang menetap di situ terus mempunyai tempat tinggal dan tidak dipinggirkan. Malah, mereka akan terus dibela dan dibenarkan tinggal di kawasan tersebut.

Baginda turut menjelaskan bahawa pelawaan berkenaan tidak terhad kepada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot sahaja, sebaliknya mana-mana masyarakat Orang Kita yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu turut dipersilakan untuk tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau.

Tunku Azizah berharap pelawaan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Kita terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan.

Pada masa yang sama, baginda menyeru agar semua pihak yang terlibat mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding dengan penuh hikmah dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berhemah serta memelihara kepentingan semua pihak.

Baginda turut berharap agar segala usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan masyarakat Orang Kita serta keharmonian negeri Pahang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved