Tunku Zain Al-‘Abidin dimasyhurkan sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

LocalPolitics
11 Jun 2026 • 5:05 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

Tunku Zain Al-‘Abidin dimasyhurkan sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Istana Negeri Sembilan terus mencuri tumpuan apabila Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memasyhurkan putera kedua baginda, Tunku Zain Al-‘Abidin sebagai Tunku Panglima Besar pada satu istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Istiadat penuh tradisi itu dimulakan dengan Tuanku Muhriz berkenan mengisytiharkan dan menyerahkan watikah serta pelantikan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan kepada anakanda Tunku Zain Al-‘Abidin.

Istiadat pengurniaan gelaran pusaka Putera Yang Empat Tunku Panglima Besar kepada Tunku Zain Al-‘Abidin itu turut disaksikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Pemasyhuran itu dibuat bagi mengisi kekosongan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandang oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam satu kenyataan selepas istiadat itu memaklumkan Tuanku Muhriz menzahirkan keyakinan bahawa Tunku Zain Al-‘Abidin selaku Tunku Panglima Besar akan terus memainkan peranan penting dalam menjunjung kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan serta memelihara kepentingan rakyat dan negeri.

Tunku Zain Al-‘Abidin, 44, diputerakan pada 1982, merupakan pendukung pemulihan perlembagaan dan reformasi institusi di Malaysia yang komited ke arah pembinaan sebuah negara lebih adil dengan setiap rakyat Malaysia diberi peluang saksama untuk maju dan berjaya.

Baginda kemudian mendapat pendidikan di Sekolah Alice Smith Kuala Lumpur, Marlborough College di United Kingdom dan London School of Economics and Political Science serta memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Politik Perbandingan.

Tunku Zain Al-‘Abidin kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Presiden Kolej ICAN serta Felo Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebagai Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah dan Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, baginda secara aktif memperjuangkan akses yang lebih luas kepada pendidikan berkualiti, pembelajaran holistik dan pembentukan pemimpin masa depan yang seimbang.

Selain itu, baginda juga adalah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) selain mengasaskan IDEAS Autism Centre yang kini mengendalikan tiga pusat iaitu di Rawang, Nilai dan Port Dickson serta IDEAS International Secondary School di kampus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Dalam dunia korporat, Tunku Zain Al-‘Abidin berkhidmat sebagai Pengerusi Omesti Berhad, Excelerate Malaysia dan EnotechPictures selain Ahli Lembaga Deutsche Bank Malaysia, Prima Gading Corporation, dan Uni Enrol serta Penasihat kepada Kumpulan UCSI.

Tunku Zain Al-‘Abidin juga adalah Pemegang Amanah bagi beberapa yayasan termasuk Yayasan Chow Kit, Yayasan Munarah, Yayasan IDEAS, Yayasan Genovasi dan Yayasan Tinggi dengan kebanyakannya menyokong pendidikan, pembangunan belia dan pemerkasaan komuniti.

Baginda juga merupakan penyokong kuat seni dan budaya, yang juga seorang pemain piano dan pernah membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia selain mengetuai projek utama untuk memberikan nafas baharu kepada lagu kebesaran Negeri Sembilan serta mengarang sebuah buku memperingati pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Sejak 2008, baginda aktif menulis ruangan akhbar dengan menerbitkan beberapa buku hasil kompilasi artikelnya.

Tunku Zain Al-‘Abidin pernah berkhidmat dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta merupakan seorang Eisenhower Fellow.

Baginda juga meminati sukan raket dan berkhidmat sebagai Presiden Emeritus
Persatuan Squash Negeri Sembilan serta Penasihat Persatuan Tenis Negeri Sembilan dan Persatuan Pickleball Negeri Sembilan.

Terdahulu, Azizi dalam satu kenyataan, mengesahkan pemasyuran Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang dibuat di sebuah resort di Alor Gajah Melaka oleh Undang Yang Empat, Jumaat lalu adalah tidak sah dan tidak berkuat kuasa.

Sehubungan itu, beliau berkata, cubaan untuk menerima gelaran yang tidak sah itu dengan sendirinya, Tunku Nadzaruddin telah melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.

Gambar: @Instagram:tunkuali.ns.official