Tunku Zain kini Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

LocalPolitics
11 Jun 2026 • 11:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tunku Zain kini Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan
Tuanku Muhriz memasyhurkan Tunku Zain sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan
Image from: Tunku Zain kini Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan
Tunku Zain yang berusia 44 tahun merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

KUALA PILAH - Putera kedua Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, Tunku Zain Al- 'Abidin Tuanku Muhriz dimasyhurkan sebagai Tunku Panglima Besar yang baharu bagi menggantikan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja'afar berkuat kuasa serta-merta.

Majlis pemasyuharan dibuat dalam satu majlis istiadat yang diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini pada Khamis.

YDPB Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat mencemar duli memasyhurkan putera kedua baginda itu.

Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan diiringi Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan Exco.

Tunku Zain yang berusia 44 tahun mendapat pendidikan di Sekolah Alice Smith Kuala Lumpur, Marlborough College di United Kingdom dan London School of Economics and Political Science, di mana beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Politik Perbandingan.

Beliau kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Presiden Kolej ICAN,Felo Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

**media[3547426]**

Beliau juga merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) iaitu sebuah badan pemikir yang mencari penyelesaian dasar awam yang praktikal berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan, dan keadilan.

Melalui IDEAS, Tunku Zain turut mengasaskan IDEAS Autism Centre yang kini mengendalikan tiga pusat di Rawang, Nilai dan Port Dickson serta IDEAS International Secondary School yang mempunyai kampus di Kuala Lumpur selain Pulau Pinang.

Dalam dunia korporat pula, beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Omesti Berhad, Excelerate Malaysia dan Enotech Pictures selain merupakan Ahli Lembaga Deutsche Bank Malaysia, Prima Gading Corporation dan Uni Enrol, serta Penasihat kepada Kumpulan UCSI.

Tunku Zain juga merupakan Pemegang Amanah bagi beberapa yayasan termasuk Yayasan Chow Kit, Yayasan Munarah, Yayasan IDEAS, Yayasan Genovasi, dan Yayasan Tinggi, yang kebanyakannya menyokong pendidikan, pembangunan belia dan pemerkasaan komuniti.

Sebagai Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah dan Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, beliau secara aktif memperjuangkan akses yang lebih luas kepada pendidikan berkualiti, pembelajaran holistik, dan pembentukan pemimpin masa depan yang seimbang.

Menurut kenyataan istana, pemasyhuran tersebut dibuat bagi mengisi kekosongan gelaran berkenaan.

"Ke bawah duli Tuanku menzahirkan keyakinan bahawa yang amat mulia Tunku Zain, selaku Tunku Panglima Besar, akan terus memainkan peranan penting dalam menjunjung kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan serta memelihara kepentingan rakyat dan negeri," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Tunku Nadzaruddin tidak lagi memegang gelaran tersebut berikutan cubaannya menerima gelaran YDPB dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun lalu.

Bagaimanapun majlis yang dikatakan 'istiadat pemasyuharan' itu adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.