Tuntut tanah adat, penerokaan didalangi tauke luar, guna wanita, kanak-kanak – Sultan Pahang

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 4:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tuntut tanah adat, penerokaan didalangi tauke luar, guna wanita, kanak-kanak – Sultan Pahang

ROMPIN: Semua pihak diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan istilah tanah adat seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan automatik hak mereka.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, tuntutan tanah tidak boleh diterima hanya kerana sesuatu kawasan itu disebut sebagai tanah adat.

“Saya harap ini dapat diingati oleh semua pihak, keluarga Orang Asli supaya tidak ada orang yang mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan, menyusahkan lagi pihak individu dan keluarga.

“Saya ingin memberi contoh seperti bergaduh sesama sendiri, penerokaan secara besar-besaran bersama orang luar iaitu tauke belakangnya, menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai medium untuk mempertahankan pencerobohan mereka.

“Saya harap ini dihentikan, saya tidak mahu perkara-perkara seperti kejadian di Kampung Jemeri di Rompin dan di Kampung Cot Maran berulang di tempat lain,” titah baginda pada Program Kenduri Rakyat Sempena Hari Orang Asli 2026 di Kampung Sungai Mok, di sini hari ini.

Baginda bertitah, di Semenanjung Malaysia khususnya di Pahang, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) tidak memperuntukkan suatu kategori tanah yang dinamakan ‘tanah adat’.

Titah Al-Sultan Abdullah, istilah yang diperuntukkan secara khusus di bawah Akta 134 ialah ‘Kawasan Orang Asli’ di bawah Seksyen 6 dan ‘Rizab Orang Asli’ di bawah Seksyen 7 yang boleh diisytiharkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam warta.

Baginda bertitah, di bawah Akta 134 pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk memberikan hak menduduki tanah tertentu dalam kawasan Orang Asli atau Rizab Orang Asli.

“Justeru, status tanah, pewartaan, sempadan, sejarah pendudukan serta fakta di lapangan hendaklah diteliti terlebih dahulu mengikut undang-undang dan sesuatu tuntutan berlandaskan tanah adat tidak boleh diterima.

“Kerajaan negeri tidak pernah berniat menafikan hak Orang Asli, hak dan kebajikan mereka wajib dihormati, dipelihara dan dilindungi menurut perlembagaan serta undang-undang.

“Perlembagaan sendiri membenarkan peruntukan khusus bagi perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli termasuk perizaban tanah, namun demikian hak mestilah berjalan bersama undang-undang,” titah baginda.

Titah baginda, ketika ini terdapat 264 Kampung Orang Asli di Pahang dengan 30 daripadanya telah selesai diwartakan dan 16 kampung telah diberi hak milik tanah.

Baginda bertitah, pada masa ini juga terdapat 143 Kampung Orang Asli yang masih belum diterima permohonan dan perkara ini wajar diberikan perhatian segera oleh kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Saya mahu perkara ini diperhalusi, jika ada masalah nyatakan masalahnya, jika ada halangan undang-undang cari kaedah penyelesaiannya, jangan biarkan Orang Asli menunggu tanpa kepastian.

“Jangan biarkan mereka terpinggir, jangan biarkan mereka hidup susah dan jangan hanya datang apabila timbul pertikaian mengenai tanah,” titah baginda. – UTUSAN

The post Tuntut tanah adat, penerokaan didalangi tauke luar, guna wanita, kanak-kanak – Sultan Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved