Tuntutan kumpulan Sulu: PM beri jaminan lindungi aset negara

LocalPolitics
20 Jul 2022 • 2:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PUTRAJAYA: Susulan isu tuntutan kumpulan Sulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan akan melindungi aset negara dengan menggunakan saluran perundangan sedia ada.

“Kita lindungi (aset) dari segi perundangan. Mereka (kumpulan Sulu) bawa kes ke mahkamah jadi kita akan melindungi semua (aset) secara perundangan.

“Saya beri jaminan tidak akan berkompromi dan berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kumpulan Sulu yang mengganggu-gugat kepentingan aset-aset Malaysia di luar negara khususnya aset di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada 12 Julai dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Ismail Sabri berkata beliau difahamkan Petronas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memberi penjelasan di Parlimen dalam masa terdekat mengenai rampasan aset Petronas di Azerbaijan itu.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 14 Julai lepas telah bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.