Tuntutan nafkah RM4,000 rupanya isteri ‘dahagakan’ perhatian suami

LocalFamily & Parenting
27 Jul 2026 • 3:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tuntutan nafkah RM4,000 rupanya isteri ‘dahagakan’ perhatian suami

KUALA LUMPUR – Tuntutan nafkah diri RM4,000 sebulan yang difailkan seorang wanita terhadap suaminya selepas 40 tahun berkahwin rupa-rupanya bukanlah soal wang, sebaliknya kerinduan mendapatkan perhatian serta kasih sayang pasangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kes berkenaan menjadi antara contoh terbaik kejayaan mekanisme sulh dalam merungkai punca sebenar pertikaian rumah tangga.

Katanya, pasangan yang dikurniakan tujuh cahaya mata itu hadir ke Mahkamah Syariah selepas si isteri menuntut nafkah diri sebanyak RM4,000 sebulan dengan alasan suaminya tidak pernah memberi nafkah sepanjang perkahwinan mereka.

“Bagaimanapun, hasil sesi sulh yang dikendalikan pegawai sulh, kedua-dua pihak bersikap terbuka dan saling mengakui kelebihan serta kekurangan masing-masing.

“Didapati suami sebenarnya bukan langsung tidak memberikan nafkah, sebaliknya banyak menanggung perbelanjaan rumah, keperluan keluarga dan memberi nafkah dalam bentuk kebendaan serta kemudahan, cuma bukan dalam bentuk wang tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Menurut Zulkifli, selepas beberapa sesi perbincangan, pegawai sulh berjaya mengenal pasti bahawa isu sebenar ialah isteri berasa kesunyian selepas kesemua anak mereka berkeluarga dan meninggalkan rumah.

Katanya, wanita itu sebenarnya mengharapkan perhatian, masa berkualiti dan komunikasi yang lebih baik daripada suaminya.

“Hasil proses sulh, ruang kemaafan dan kasih sayang antara pasangan berjaya dihidupkan semula.

“Suami secara sukarela bersetuju membayar nafkah diri RM2,000 sebulan di samping terus menanggung perbelanjaan isi rumah yang dipersetujui bersama,” katanya.

Tambahnya, kes itu membuktikan sulh bukan sekadar mekanisme penyelesaian pertikaian undang-undang, malah berperanan sebagai medium memulihkan hubungan kekeluargaan dengan mengenal pasti punca sebenar sesuatu konflik.

Beliau berkata, tuntutan kewangan dalam kes berkenaan sebenarnya hanyalah simbol kepada keperluan emosi seorang isteri yang dahagakan perhatian selepas puluhan tahun membina rumah tangga.

Menurutnya, penyelesaian secara menang-menang seperti itu berjaya mengelakkan pertikaian berpanjangan selain memelihara keharmonian institusi keluar

Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan kerjasama lebih erat antara Mahkamah Syariah dengan institusi pengajian tinggi bagi mempergiat penyelidikan berkaitan penyelesaian konflik keluarga.

Selain itu katanya, ia juga bagi memperluaskan usaha pendokumentasian kes-kes sulh sebagai rujukan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kita perlu lihat juga daripada komponen segmen dimensi khidmat masyarakat, kita berikan mereka pencerahan dan pencerdasan iaitu dengan komunikasi dan penyebaran maklumat yang efisien mengenai undang-undang keluarga dan syariah.

“Kita ingin perkasakan lagi latihan profesional yang bukan hanya melihat dalam konteks dinamika Malaysia tetapi kita juga boleh melihat model-model di negara-negara yang lain yang boleh kita belajar dan aplikasikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tuntutan nafkah RM4,000 rupanya isteri ‘dahagakan’ perhatian suami appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved