Turapan tak sempurna punca nahas

23 Mar 2026 • 9:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zainol Abidin (kiri) bersama penduduk menunjukkan keadaan laluan jalan Kuala Nerang - Changlun yang tidak rata.
image is not available
Keadaan jalan yang tidak rata dan membahayakan pengguna di jalan Kuala Nerang - Changlun.
image is not available
Keadaan jalan yang berlubang.

CHANGLUN - Penduduk di beberapa kampung sekitar laluan Kuala Nerang–Changlun melahirkan kebimbangan terhadap keadaan jalan sepanjang kira-kira enam kilometer yang didakwa tidak diturap sempurna sejak lebih setahun lalu.

Laluan tersebut digunakan kira-kira 1,000 penduduk dari beberapa kampung termasuk Kampung Belukar, Kampung Padang, Kampung Sungai Petani, Kampung Darat dan Kampung Kangar untuk urusan harian mereka.

Masalah itu dipercayai berlaku selepas kerja pengorekan jalan dilaksanakan bagi projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, namun penurapan semula jalan berkenaan didakwa tidak dilakukan dengan baik sehingga permukaannya menjadi tidak rata dan berlubang.

Seorang penduduk Kampung Belukar, Baharom Bakar, 76, berkata, keadaan jalan yang rosak dan berlubang membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal yang melalui laluan tersebut setiap hari.

**media[3469588]**

Menurutnya, terdapat beberapa kejadian pengguna motosikal terjatuh akibat permukaan jalan yang tidak rata selain kenderaan yang melalui kawasan itu terpaksa memperlahankan kenderaan bagi mengelak lubang di jalan.

“Jalan ini ada banyak lubang dan tidak rata. Ada kenderaan yang tidak perasan terus terlanggar lubang.

“Kami berharap pihak berkaitan dapat melihat semula masalah ini sebelum berlaku kemalangan yang lebih serius. Pada awal Mac lalu, dua penunggang motosikal wanita cedera terbabas akibat sebuah kereta yang mengelak lubang di laluan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Aisiom Md Yusop, 63, berkata, penurapan semula jalan itu hanya dilakukan secara sementara walaupun kerja pengorekan telah lama dijalankan.

Menurutnya, pihak berkaitan memaklumkan bahawa turapan tersebut adalah sementara kerana projek berkenaan masih belum siap sepenuhnya.

“Masalah ini sudah berlanjutan lebih setahun. Jalan ini pula laluan utama penduduk untuk bekerja dan hantar anak ke sekolah.

“Kami harap pihak berkaitan dapat menurap semula jalan ini dengan sempurna seperti keadaan asal,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Nazir Ramli, 46, berkata, keadaan laluan itu menjadi lebih berbahaya pada waktu malam kerana menyukarkan pengguna melihat permukaan jalan yang tidak rata.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk ketika hujan apabila lubang di jalan dipenuhi air.

“Bila hujan, air akan memenuhi lubang dan pengguna tidak nampak keadaan sebenar jalan. Ini sangat berbahaya terutama kepada penunggang motosikal.

“Kami berharap projek ini dapat disiapkan segera dan jalan ini diperbaiki dengan baik sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

**media[3469590]**

Bimbang pelajar terlibat kemalangan

Kejadian kemalangan yang berlaku sebelum ini seharusnya menjadi iktibar kerana jelas mengancam nyawa pengguna.

Timbalan Pengerusi Masjid Ihya’ Ulumuddin, Pekan Changlun, Zainol Abidin Mohamad berkata, keadaan ini amat membahayakan pengguna terutamanya pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun dan Sekolah Kebangsaan Wan Kemara yang menggunakan laluan tersebut setiap pagi.

“Jalan ini menjadi laluan utama penduduk dan penggunaannya agak tinggi terutamanya pada setiap pagi. Keadaan jalan yang rosak ini seharusnya diberikan perhatian utama dan perlu diturap semula dengan sempurna.

“Kami khuatir lebih ramai pelajar, penduduk kampung dan petani akan menjadi mangsa jika masalah ini tidak ditangani segera. Harapan kami agar jalan ini dipulihkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan merangkap Pengerusi PIBKS Kedah mengharapkan agar perkara berkenaan diberikan perhatian.

Jelasnya, projek yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah air di kawasan berkenaan dilihat memberikan impak positif namun tidak pada jalan berkenaan.