Turkish Riviera Menawarkan Keindahan Alam Semula Jadi Mempesona

Travel
30 Apr 2023 • 12:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pemandangan menakjubkan Kas Antalya - Gambar Türkiye Tourism Promotion and Development Agency (TGA)

Walau di mana pun kaki melangkah, pasti pengembaraan tidak akan sama kerana setiap destinasi punya cerita sendiri. Contoh paling mudah ialah di Malaysia sendiri. Budaya dan warisan masyarakat pantai Timur tidak sama dengan penduduk tempatan di bahagian utara. Begitu juga dengan tarikan yang menanti. 

Mengintai destinasi yang lebih jauh, Turkiye sama juga ceritanya. Lebih-lebih lagi negara ini punya keluasan yang beberapa kali ganda dari Malaysia. Lebih banyak yang boleh dilihat,  lebih banyak yang boleh dijejaki.

Pernah sampai atau tidak ke Pantai Mediterranean Turki? Tempat yang juga dikenali sebagai Turkish Riviera ini menarik kunjungan berjuta-juta pelawat domestik dan antarabangsa setiap tahun kerana gabungan alam semula jadi, sejarah dan budayanya yang luar biasa. 

image is not available
Turkish Riviera menarik kunjungan berjuta-juta pelawat domestik dan antarabangsa setiap tahun. - Gambar Türkiye Tourism Promotion and Development Agency (TGA)

Kawasan ini terkenal di seluruh dunia bukan hanya kerana pantainya yang indah, matahari yang bersinar terang, dan lautnya yang membiru, tetapi ia juga mempunyai pelbagai tarikan yang mengagumkan.

Turkish Riviera menawarkan pelbagai aktiviti yang memenuhi jangkaan perjalanan yang berbeza. Ia mempunyai keindahan alam yang menghijau dan membiru, bandar-bandar lama yang bersejarah, tradisi masakan yang tersendiri, dan juga laluan trek dan kawasan menyelam. Berikut adalah senarai beberapa tarikan yang tidak boleh dilepaskan. 

Antalya dan tarikan yang mempersonakan

Lokasi pertama yang mesti dijejaki ialah Antalya yang terletak di tengah-tengah Turkish Riviera. Bandar ini terkenal dengan 229 pantai yang berdaftar dengan Blue Flag, tempat bersejarah legenda serta syurga aktiviti rekreasi. 

Penggemar aktiviti luar akan menikmati dan menerokai Gua Karain, Dim dan Damlataş yang menawan. Di dalam sempadan wilayah Antalya terdapat beberapa denai kembara yang paling menakjubkan di dunia, termasuk Lycian Way, Pisidia Heritage Trail dan St. Paul's Way. 

image is not available

Kejiranan Kaş di Antalya dianggap sebagai salah satu daripada 10 lokasi menyelam terbaik di dunia. Paragliding dan beberapa sukan air adalah antara aktiviti yang mesti dilakukan di sini. Tidak cukup dengan itu, Belek turut mendapat pengiktirafan untuk padang golf bertaraf dunia.

Taman-taman bunga mawar dan lavender 

Mediterranean Basin yang menawarkan pemandangan alam semulajadi yang luar biasa juga terletak berhampiran Antalya. Wilayah yang merangkumi kawasan di dalam sempadan wilayah Afyonkarahisar, Antalya, Burdur, Isparta, dan Konya ini mempunyai 16 buah tasik, termasuk Akşehir, Burdur, Beyşehir, Eirdir, Kovada, dan Salda, yang tersenarai sebagai salah satu tempat terbaik untuk untuk dilawati pada 2023  oleh Travel + Leisure. 

image is not available
Ladang Lavender di Isparta Antalya. - Gambar Türkiye Tourism Promotion and Development Agency (TGA)

Anda boleh berkunjung ke kawasan ini apabila melancong ke Antalya dan menikmati tasik tektonik dan tapak bersejarah Rom.

Kawasan penanaman bunga mawar dan lavender utama Turki, terletak di Isparta. Di sini pengunjung berpeluang menikmati keindahan semula jadi Mediterranean. Jangan sesekali lepaskan peluang merakam gambar yang sempurna dengan berlatar belakangkan ladang lavender yang menakjubkan.

Pengembaraan masakan Mediterranean yang luar biasa

Apalah ertinya sebuah perjalanan jika anda tidak menikmati makanan penduduk tempatan. Pencinta makanan pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk memuaskan selera dengan seleksi masakan Mediterranean yang terkenal dengan kemewahan rasa dan kepelbagaian.

Ikan dan makanan laut ditampilkan secara menonjol dalam masakan Mediterranean, di samping hidangan sayur-sayuran yang dimasak dengan minyak zaitun organik dan pengalaman unik dengan hidangan daging dan rempah ratus. 

image is not available
Restoran tradisional menyediakan hidangan ikan dan daging segar seperti tantuni-kebab, pembuka selera yang terkenal. - Gambar Türkiye Tourism Promotion and Development Agency (TGA)

Restoran tradisional menyediakan hidangan ikan dan daging segar seperti tantuni-kebab, pembuka selera yang terkenal seperti bonito dan piyaz masin, dan pencuci mulut seperti ais krim bakar dan tidak ketinggalan künefe, yang menjadi kegemaran ramai di serata dunia.

Jadi, mungkin sudah sampai masanya anda merancang perjalanan ke sini! Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari www.goturkiye.com/  - Getaran, 30 April 2023