Turkiye Menyekat Pula Discord

TechnologyDigital
10 Oct 2024 • 1:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pihak berkuasa Turkiye mengenakan sekatan akses terhadap platform media sosial Discord pada Rabu susulan ketidakpatuhan terhadap perintah untuk mengalih keluar kandungan yang dianggap menyalahi undang-undang. Keputusan itu juga dibuat selaras dengan keputusan mahkamah selepas platform itu enggan berkongsi maklumat yang dituntut oleh pihak mahkamah.

image is not available

Langkah itu dibuat ketika Turkiye bergelut dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan platform media sosial, khususnya selepas menerima laporan berhubung insiden sekumpulan pengguna Discord disyaki melakukan peras ugut dan buli siber terhadap kanak-kanak serta remaja. Beberapa sumber melaporkan terdapatnya video dan mesej tular yang menunjukkan kanak-kanak bawah umur telah diperas ugut untuk memberikan wang, atau terlibat dalam mencederakan diri sendiri.

Sekatan itu turut didorong oleh insiden yang menyebabkan kemarahan orang ramai di Turkiye berkaitan pembunuhan dua wanita oleh seorang lelaki berusia 19 tahun di Istanbul baru-baru ini. Terdapat kandungan di media sosial yang menunjukkan pengguna Discord memuji pembunuhan itu, lalu mencetuskan kemarahan dan membawa kepada gesaan untuk mengawal selia platform dengan lebih ketat.

image is not available

Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Abdulkadir Uraloglu berkata platform Discord telah menyukarkan pihak berkuasa untuk memantau apabila kandungan haram atau jenayah dikongsi. Memandangkan Discord enggan berkongsi maklumat yang diminta termasuk alamat IP dan kandungan, dengan unit keselamatan Turkiye, pihaknya terpaksa menyekat akses. Langkah itu juga dibuat sehari selepas Rusia turut mengharamkan platform itu.