Turun Anwar: Topeng Hipokrasi Pihak Gila Kuasa, Mahu Pecah Belah Rakyat

LocalPolitics
28 Jul 2025 • 4:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Facebook

Saya sentiasa percaya pada hak untuk berhimpun atau nenyuarakan bantahan. Perbezaan pendapat adalah sebahagian daripada demokrasi yang berfungsi. Tapi saya juga percaya perhimpunan “Turun Anwar” bukanlah gerakan rakyat. Ia hanyalah satu sandiwara politik yang dilaksanakan pula dengan buruk.

Sejujurnya, jika matlamatnya adalah untuk menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat yang meluas terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, maka penganjur telah gagal dengan teruk. Walaupun dianggarkan perhimpunan itu disertai 25,000 hingga 30,000 orang, ia hanya nampak seperti stadium separuh penuh pada hari perlawanan liga kedua. Malah, jika mereka hanya menganjurkan perlawanan bola sepak biasa di stadium biasa, mungkin mereka boleh menarik 50,000 orang tanpa berpeluh. Tapi bola sepak memang membawa ke arah perpaduan dan kebanggaan. Perhimpunan ini cuma membangkitkan kekeliruan dan ketidakselesaan.

Apa yang kita lihat sebaliknya adalah sekumpulan kecil penyokong PAS yang terpilih, pemimpin BERSATU dan ramai yang diangkut dengan bas, memegang sepanduk yang bukan mereka tulis dan melaungkan slogan yang mereka sendiri kurang faham. 

Sebilangan kecil ahli parti bukan Melayu yang kurang dikenali cuba menambah legitimasinya, tapi itu hanyalah tokenisme dalam bentuk terburuk. Sebenarnya, ini bukanlah kebangkitan berbilang kaum. Ia adalah perhimpunan yang sebahagian besarnya telah dicerobohi oleh mereka yang mengaku diri mereka pembela keistimewaan Melayu dan Islam yang kini mahu membalut cita-cita mereka dengan bendera kita dan berpura-pura ia melibatkan semua rakyat Malaysia. Maaf, kami tak percaya.

Mari kita terus ke intipati sebenar. Jika benar mahu menyingkirkan Perdana Menteri, ada cara mudah dan beradat yang boleh dilakukan: lakukan undi tidak percaya di Parlimen. Begitulah cara demokrasi berfungsi. Tapi sudah tentu mereka tak akan buat begitu kerana mereka tahu akan kalah. Mereka tahu mereka tidak memilik jumlah mencukupi. Mereka tahu rakyat Malaysia tidak bersama mereka—bukan belia bandar, bukan golongan progresif pertengahan, malah bukan majoriti senyap di kampung yang mula menolak topeng itu. Topeng hipokrasi.

Apa yang mereka boleh buat, ialah mengacau emosi. Memanfaatkan ketakutan. Memanipulasi identiti. Menceritakan pengkhianatan dan kehancuran. Berpura-pura negara sedang terbakar, sedangkan yang terbakar sebenarnya relevansi mereka sendiri. Tapi inilah perkara sebenar: rakyat Malaysia sudah terlalu jauh melangkah untuk tertipu lagi. Kita telah berkorban terlalu banyak, menempuh terlalu banyak fajar palsu, untuk membiarkan sekumpulan politikus oportunis memutar balik jam demokrasi kita.

Kita tidak mahu sandiwara. Kita mahu akauntabiliti—di Parlimen, tempat pemimpin sebenar hadir dan bekerja keras membina negara. Kita mahu debat yang mantap, bukan sandiwara kosong. Kita mahu pembangkang bertindak seperti kerajaan yang menanti, bukan sekadar geng pengeluh yang menjerit dari tepi gelanggang. Kita mahu mereka tawarkan idea, menginspirasi dengan visi, dan berikan dasar yang mampu diuji.

Kita menghadapi isu sebenar. Tekanan ekonomi, beban kos sara hidup, pembaharuan pendidikan, kemerosotan alam sekitar, beban kesihatan, dan ya, korupsi masih berleluasa di banyak penjuru. Kita tiada masa untuk politik sarkas.

Perhimpunan ini bukan tentang rakyat. Ia bukan tentang keadilan. Ia tentang kuasa—mudah dan jelas. Dan rakyat Malaysia akhirnya belajar membezakan perkara ini.

Kepada mereka yang fikir mereka boleh menggugat kestabilan negara dengan slogan dan pengacau, ini nasihat saya: hentikan menghina kecerdasan kami. Berjuanglah di Parlimen. Berdebatlah seperti orang dewasa. Dapatkan kepercayaan kami, bukan sekadar tajuk utama. Ini masa untuk pemimpin yang serius. Individu yang serius.

Sehingga waktu itu, kami rakyat akan terus melangkah ke depan—dengan atau tanpa anda. - Getaran, 28 Julai 2025