
KUALA LUMPUR - Cadangan Iran untuk menutup Selat Hormuz dijangka tidak memberi tekanan besar terhadap Amerika Syarikat (AS) mahu pun Israel dari segi keperluan bekalan minyak dan gas cecair asli.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, penutupan itu sekiranya berlaku sebaliknya akan memberi kesan lebih ketara terhadap penghantaran bekalan dan keperluan minyak sebahagian besar negara Asia.
“Saya percaya Iran tidak akan mengambil keputusan untuk menutup Selat Hormuz 100% walaupun Parlimen Iran meluluskannya.
“Ini kerana kesannya bukan kepada musuh Iran tetapi kesan drastik kepada rakan sekutu Iran seperti China.
“Kerana Selat Hormuz itu penting bagi laluan eksport minyak dan gas cecair asli yang mana hampir 20 peratus bagi pasaran global terutama ke negara Asia, terutama China, Jepun dan Korea Selatan.
“Sebab itu saya percaya keputusannya tidak akan sampai kepada penutupan Selat Hormuz, kerana ia memberi kesan kepada rakan dagangan Iran dan bukan kepada musuh-musuh Iran terutama AS dan Israel,” katanya kepada Scoop hari ini.
Beliau berkata, sekiranya penutupan laluan itu diteruskan, ia pasti akan meningkatkan harga minyak mentah dunia.
“Kesan kepada Malaysia, jika Selat Hormuz tutup, harga minyak akan naik, dan bila naik, produk- produk lain akan naik harga.
“Jadi, mahu tidak mahu, walaupun harga minyak mentah dunia sekiranya naik akan memberi sedikit keuntungan kepada pendapatan negara, namun harga barangan dan produk import akan naik,” katanya.
Terdahulu, cadangan penutupan Selat Hormuz diluluskan oleh Parlimen Iran, keputusan muktamad hanya boleh dibuat oleh kepimpinan tertinggi negara itu, termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Selat Hormuz yang terletak antara Teluk Parsi dan Teluk Oman adalah laluan laut penting dengan kira-kira satu pertiga daripada perdagangan minyak global, iaitu 17 hingga 20 juta tong minyak mentah dan kondensasi melalui laluan itu setiap hari.
Negara-negara pengeluar utama minyak seperti Arab Saudi, Iran, UAE, Kuwait dan Iraq amat bergantung kepada laluan ini untuk mengeksport minyak mereka ke Asia, pasaran utama mereka.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IFA), kira-kira 70 peratus daripada jumlah itu dihantar ke Asia, termasuk China, Jepun, India, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Pakistan dan Filipina.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, harga minyak dunia boleh melonjak sehingga AS$100 setong sekiranya Iran memutuskan untuk menutup Selat Hormuz.
"Sekiranya harga minyak melonjak naik, sektor pengangkutan yang menggunakan diesel akan mengalami kenaikan kos operasi termasuk semua sektor yang bergantung kepada logistik untuk pergerakan barangan mereka.
"Syarikat berkaitan minyak mungkin akan menikmati peningkatan pendapatan, tetapi kerajaan akan terpaksa menambah subsidi untuk RON95 kecuali jika rasionalisasi petrol RON95 dilaksanakan dengan segera," katanya.
Bagi Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ketegangan geopolitik di Timur Tengah terutamanya risiko gangguan di Selat Hormuz, telah mengembalikan ketidaktentuan dalam pasaran minyak global.
“Walaupun unjuran asas kami tidak menjangkakan harga minyak Brent melepasi paras AS$ 100 setong, anggaran dalaman kami menunjukkan bahawa jika senario ini berlaku, harga pam RON95 boleh meningkat kepada RM3.73 seliter—iaitu kira-kira 80% lebih tinggi daripada paras harga bersubsidi semasa.
“Keadaan ini akan meningkatkan beban subsidi bahan api kerajaan dengan ketara dan menyukarkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang dirancang pada separuh kedua 2025, seperti yang telah digariskan sebelum ini.
“Namun, langkah pembaharuan itu tidak semestinya dibatalkan, sebaliknya mungkin akan mempengaruhi kadar pelaksanaan atau pertimbangan fiskal yang berkaitan,” katanya.
Tambah beliau, nilai ringgit kekal agak stabil, yang mana kini didagangkan sekitar 4.29 berbanding dolar AS.
“Petunjuk teknikal semasa, menunjukkan bahawa pasangan USD/MYR berlegar dalam julat neutral sekitar 4.25, dengan paras rintangan dan sokongan masing-masing pada 4.3348 dan 4.2430.
“Sekiranya berlaku penembusan melepasi paras rintangan, pasangan mata wang ini boleh menguji paras 4.3661 dalam masa terdekat, khususnya jika ketegangan geopolitik terus meningkat.
“Walaupun kami mengekalkan unjuran kadar tukaran akhir tahun pada 4.30, kami akan terus berwaspada terhadap ketidaktentuan luaran dan sebarang perubahan dalam dinamik monetari global, memandangkan risiko geopolitik masih berterusan.
Menurut data dagangan semalam, niaga hadapan minyak Brent mencatat kenaikan 2.45 peratus kepada AS$77.33 setong, susulan peningkatan ketegangan konflik antara Iran dan Israel. - 24 Jun, 2025
The post Tutup Selat Hormuz: Negara Asia terutama China akan lebih terkesan, bukan musuh Iran, kata penganalisis appeared first on Scoop.

