Hisense ialah jenama perkakasan elektrik yang cukup terkenal untuk penawaran televisyen pintar mereka, baru-baru ini telah memperkenalkan paparan skrin pintar terbaru yang boleh ditolak kemana-mana dengan Hisense RoamView.
Hisense RoamView ialah paparan skrin bersaiz 32 inci yang menggunakan panel ELED (Edge LED) dengan ciri sesentuh terbina untuk menghasilkan sebuah paparan sesentuh yang tampil dengan kecerahan yang cukup baik sekali, dengan resolusi setinggi 4K dan juga sokongan untuk memaparkan kandungan HDR dengan sokongan teknologi HDR10.

Paparan skrin Hisense RoamView ini dikuasakan oleh sistem operasi Android, yang membolehkannya digunakan sebagai sebuah tablet gergasi dengan aplikasi-aplikasinya tersendiri seperti YouTube, Netflix, TikTok dan sebagainya untuk kegunaan sendiri ataupun di pejabat. Dengan fungsi sesentuh dan kamera 4K terbina, ia juga boleh digunakan sebagai sebuah papan putih pintar dan juga peranti telesidang dengan fungsi perkongsian penuh.

Paparan skrin ini disambungkan ke sebuah tapak yang bukan sahaja membolehkan pengguna menolaknya kemana-mana sahaja, ia juga tampil dengan bateri terbina didalamnya yang membolehkan paparan ini digunakan tanpa disambungkan ke bekalan kuasa lain selama 10 jam berturut-turut tanpa perlu memasangnya ke sumber kuasa yang lain.

Selain dari itu, kedudukan paparan ini boleh ditetapkan dalam keadaan mendatar dan juga menegak bergantung kepada keperluan pengguna, sama ada mereka menggunakan aplikasi yang memerlukannya berada dalam salah satu daripada dua orientasi tersebut.

Satu lagi kelebihan paparan Hisense RoamView ini ialah ia juga boleh dicabut dari tapak tersebut untuk diletakkan di atas meja, tetapi di dalam mod ini, pengguna akan perlu menyambungkannya ke sumber kuasanya sendiri kerana komponen bateri dimuatkan didalam bahagian tapak kaki bergerak sahaja.
Hisense RoamView hadir dengan tanda harga $1200, dan sudah mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih. Ia juga sudah disenaraikan di laman web Hisense Malaysia, tetapi buat masa ini tanda harga jualan tempatan belum ditetapkan lagi.
Sumber: Hisense





