TVET: 100 bakal pesara ATM diserap ke sektor logistik

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 4:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fahmi Fadzil. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Seramai 100 bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka diserap dalam sektor logistik menerusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, menerusi pengukuhan program itu, bakal pesara dijangka menerima tawaran gaji hingga RM5,000 sebulan.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai pelaksanaan pengukuhan program TVET melibatkan bakal pesara ATM yang mana 100 individu akan diserap ke sektor logistik dengan tawaran gaji sehingga RM5,000," katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini pada Selasa.

Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut meneliti hasil mesyuarat Majlis TVET yang dipengerusikan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Beberapa perkara telah dibangkitkan antaranya jumlah peserta bagi program-program TVET di seluruh negara telah meningkat 500 peratus berbanding sebelum ini. Ini satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Sambutan Hari TVET Negara bagi tahun 2026 juga akan diadakan pada 5 hingga 7 Jun tahun ini bertempat di Dataran Putrajaya,” jelas Fahmi yang juga Menteri Komunikasi.