
Kekurangan dalam aspek pembelajaran bukan penghalang buat Muhammad Alif Sabri, 13, untuk menyimpan impian melanjutkan pengajian dalam bidang pastri apabila tamat persekolahan kelak.
Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jalor, Gemencheh, Negeri Sembilan itu antara yang teruja apabila berpeluang mengenali dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Program School Attack @ PPKI dan Hari Terbuka Kolej Komuniti Tampin 2026 baru-baru ini.
Muhammad Alif yang mengikuti kelas PPKI kategori masalah pembelajaran berkata, pendedahan dalam pelbagai bidang kemahiran membuka matanya mengenai peluang untuk golongan sepertinya meneruskan pengajian selepas alam persekolahan.
“Saya seronok dapat datang ke sini. Saya berminat dalam bidang pastri dan mahu sambung belajar nanti,” katanya ketika ditemui K-Kampus.
Keterujaan sama turut dikongsi Amira Suhada Mohammad, 15, yang mengakui seronok menyaksikan sendiri pelbagai aktiviti kemahiran dipersembahkan oleh pelajar kolej komuniti.
Menurut Amira Suhada, pengalaman melihat demonstrasi itu meningkatkan minatnya untuk melanjutkan pengajian, khususnya dalam bidang kecantikan.
“Saya seronok dapat tengok kakak-kakak buat aktiviti. Saya pun nak sambung belajar dalam bidang kecantikan,” katanya.

Impian kedua-dua pelajar itu menggambarkan betapa pentingnya pendedahan awal terhadap pendidikan kemahiran dalam membuka peluang dan membina keyakinan diri Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Program yang berlangsung di Kolej Komuniti Tampin itu menjadi platform memperkenalkan laluan pendidikan TVET inklusif kepada lebih 100 pelajar PPKI dari daerah Tampin, Seremban dan Nilai.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Azirin Abdul Aziz.
Penganjuran program itu turut melibatkan kerjasama tiga kolej komuniti rintis iaitu Kolej Komuniti Tampin, Kolej Komuniti Selandar dan Kolej Komuniti Jelebu dalam memperluas akses pendidikan kemahiran kepada golongan berkenaan.
Pengarah Kolej Komuniti Tampin, Ahmad Syukri Mohamed Yunus berkata, program tersebut dirancang khusus bagi memberi pendedahan awal kepada MBPK mengenai peluang melanjutkan pengajian menerusi Sijil Khas yang ditawarkan di kolej komuniti.
Menurutnya, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada pengambilan pelajar Program Sijil Khas bagi Sesi II 2027/2028, sekali gus membantu murid dan ibu bapa mengenal pasti laluan pendidikan bersesuaian.
“Melalui kaedah lawatan kampus atau campus tour, murid berpeluang merasai sendiri aktiviti amali bagi program pengajian yang ditawarkan, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas mengenai bidang kemahiran boleh diceburi,” katanya.
Antara program diperkenalkan ialah Sijil Khas Ikan Hiasan di Kolej Komuniti Tampin, Sijil Khas Hortikultur Landskap di Kolej Komuniti Selandar serta Sijil Khas Pemprosesan Makanan di Kolej Komuniti Jelebu.
Tambahnya, penganjuran program tersebut turut diintegrasikan dengan Hari Terbuka Kolej Komuniti Tampin yang menyediakan pelbagai aktiviti interaktif, pameran inovasi dan demonstrasi kemahiran.
Antara pengisian disediakan termasuk demonstrasi terapi kecantikan dan spa, pembenihan ikan hiasan, aktiviti mencari ikan gupi, zon DIY (do it yourself) dan kreatif, keusahawanan serta Jualan Rahmah.
Selain itu, pihak kolej membuka kaunter tawaran terus bagi Program Sijil Terapi Kecantikan dan Spa serta pratawaran khas kepada calon PPKI yang berminat mengikuti pengajian dalam Sijil Khas.
“Para ibu bapa dan guru digalakkan mendapatkan khidmat nasihat serta membuat semakan kelayakan supaya mereka mendapat maklumat jelas mengenai peluang pendidikan serta hala tuju anak-anak selepas tamat persekolahan,” katanya.
Ahmad Syukri memaklumkan, kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah Tampin, guru pendidikan khas, ibu bapa serta agensi strategik amat penting dalam menjayakan program tersebut.
Penganjuran program seumpama itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi murid pendidikan khas dan lebih ramai anak istimewa membina kemahiran, berdikari dan merealisasikan impian mereka.
The post TVET buka ruang anak istimewa kejar impian appeared first on Kosmo Online.


