
APAKAH makna peruntukan RM8 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) jika anak muda memiliki sijil tetapi masih bergelut mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran mereka?
Persoalan ini penting apabila Belanjawan 2027 meletakkan pembangunan bakat sebagai agenda utama negara.
Kerajaan memperuntukkan RM8 bilion bagi memperkukuh TVET merentas kementerian, manakala HRD Corp menyediakan RM3 bilion untuk menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran, termasuk pembangunan profesional berterusan.
Komitmen ini besar, namun kejayaan TVET tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan, program atau peserta semata-mata.
Penilaian sebenar perlu melihat sama ada graduan memperoleh pekerjaan berkaitan, industri mendapat tenaga kerja yang diperlukan dan pekerja menikmati pendapatan serta peluang kerjaya lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut meletakkan TVET sebagai keutamaan pembangunan bakat negara. Belanjawan 2027 membuka ruang untuk menterjemahkan komitmen tersebut kepada hasil yang benar-benar dirasai anak muda dan industri.
Perubahan pertama ialah mengalihkan pendekatan daripada latihan berasaskan penawaran kepada permintaan industri. Sebelum sesuatu kursus diperluas, majikan perlu mengenal pasti jawatan yang sukar diisi, kemahiran diperlukan dan teknologi yang mempengaruhi operasi mereka.
Institusi TVET kemudiannya boleh menyesuaikan kurikulum, latihan praktikal dan penilaian kompetensi mengikut keperluan tersebut.
Perkembangan automasi, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan sistem pengeluaran pintar turut menuntut kemahiran baharu. Penguasaan teknologi perlu diterapkan dalam tugasan sebenar seperti mengesan kerosakan, menganalisis data operasi dan meningkatkan produktiviti.
Majikan pula memerlukan pekerja yang mampu melaksanakan tugas dengan cekap, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Oleh itu, pembelajaran berasaskan kerja serta program perantisan perlu diperluas melalui kerjasama erat antara institusi dengan industri.
Pensijilan profesional dan kelayakan mikro juga boleh membantu meningkatkan kemahiran tetapi pengiktirafannya perlu jelas. Kursus singkat tanpa penilaian praktikal berisiko menghasilkan lebih banyak sijil tanpa menjamin penguasaan sebenar.
Kejayaan TVET bukan sekadar memastikan graduan mendapat pekerjaan tetapi turut membantu mereka meningkatkan pendapatan dan mengembangkan kerjaya.
Faktor seperti gaji, lokasi, pengangkutan, keadaan kerja serta peluang kenaikan pangkat turut mempengaruhi keputusan seseorang menerima atau meninggalkan pekerjaan.
Di wilayah perindustrian seperti Koridor Utara, pemetaan keperluan tenaga kerja perlu dibuat secara berkala bagi memenuhi permintaan sektor pembuatan berteknologi tinggi, penyelenggaraan, logistik dan rantaian bekalan.
Peruntukan Belanjawan 2027 perlu diterjemahkan kepada hasil yang nyata. Kejayaan TVET akhirnya bergantung pada keupayaannya melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan industri, menerima ganjaran setimpal dan mempunyai masa depan kerjaya yang lebih terjamin. –UTUSAN
MOHAMAD GHOZALI HASSAN dan AHMAD ISMAIL
Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Akademi Sains Malaysia
The post TVET jamin kerjaya, pendapatan baik appeared first on Utusan Malaysia.





