SHAH ALAM – Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kendalian Majlis Amanah Rakyat (Mara) terbukti mampu mengubah landskap kehidupan modal insan negara apabila laluan disediakan kini membuka peluang pendapatan premium kepada golongan belia.
Kisah kejayaan itu dikongsikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, membabitkan seorang anak angkat Yayasan Darul Hanan, Mohamad Muiz Suhaizi, yang kini berjaya meraih pendapatan bulanan melebihi RM3,500 dalam tempoh hanya sembilan bulan bekerja.
Menurut beliau, penguasaan ilmu dan kemahiran menjadi kunci utama berbanding hanya bergantung kepada bantuan bulanan semata-mata dalam usaha mengubah nasib keluarga.
“Saya selalu tekankan kepada semua anak-anak angkat kami bahawa hanya ilmu sahaja yang boleh merubah kehidupan.
"Jika hanya mengharapkan bantuan bulanan sahaja, tidak akan menjanjikan apa-apa perubahan berbanding ilmu dan kemahiran,” katanya menerusi satu rakamqn video dimuat naik Facebook pada Rabu.
Video tersebut dimuat naik selepas beliau selesai mengadakan majlis pengagihan daging ibadah korban membabitkan 10 ekor lembu kepada lebih 130 anak yatim di Kampung Selehor, Tumpat di Kelantan.
Mengulas lanjut mengenai latar belakang pemuda berkenaan, Asyraf menjelaskan Mohamad Muiz merupakan anak keempat daripada lima beradik dibesarkan dalam serba kekurangan oleh ibunya yang hanya bekerja kampung selepas kematian suami.
Bagaimanapun, pemuda itu membuktikan kekangan hidup bukan penghalang apabila berjaya melanjutkan latihan di GiatMara Tumpat dan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang baik pulih dan mengecat kenderaan.
“Lebih mengujakan saya, dengan hanya berbekalkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dari GiatMara Tumpat dalam bidang baik pulih dan mengecat kenderaan, dalam tempoh sembilan bulan bekerja, Muiz sudah mendapat pendapatan bulanan dengan gaji lebih RM3,500,” katanya.
Tambah beliau, anak angkatnya itu turut menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang diberikan sejak zaman persekolahan sehinggalah berjaya menjawat jawatan di sebuah syarikat yang melakukan kerja-kerja mengecat pesawat komersial Airbus 320.
Sehubungan itu, Asyraf menegaskan institusi TVET Mara mempunyai standard penawaran latihan yang tinggi serta relevan dengan kehendak industri semasa.
“Ternyata TVET Mara bukan sebarangan bahkan harus menjadi pilihan utama untuk merubah kehidupan dan menjadi harapan masa depan negara,” ujarnya.
