
SABAK BERNAM – Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu meneroka teknologi kuantum bagi melahirkan tenaga mahir yang bersedia menghadapi keperluan industri masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) ketika ini perlu disusuli persediaan menguasai teknologi baharu yang lebih maju.
Beliau yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kurikulum TVET di bawah kementerian itu perlu sentiasa dikemas kini manakala kerjasama dengan pihak industri mesti diperkukuh bagi membuka akses kepada teknologi dan kepakaran terkini.
“Kita mesti berfikir lebih jauh dan keluar daripada kepompong yang ada. Kita tidak mahu menjadi jaguh kampung.
“Hari ini kita memperkukuh penguasaan AI, tetapi kita juga mesti bersedia untuk teknologi yang bakal membentuk masa depan iaitu bidang kuantum,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo TVET @ KKDW di sini, hari ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi TVET Negara, usaha itu perlu dilaksanakan dengan memberi pendedahan awal kepada tenaga pengajar supaya mereka memahami perkembangan teknologi berkenaan sebelum ilmu tersebut diterapkan kepada pelajar.
Ujarnya, selain itu kurikulum mesti sentiasa diperbaharui dan kerjasama industri perlu membuka akses kepada teknologi baharu.
“Kita perlu mempersiapkan generasi muda untuk menerajui gelombang teknologi seterusnya. Itulah ukuran kecemerlangan yang mahu kita bina,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, tiga inisiatif strategik TVET KKDW akan dilaksanakan secara berfasa bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan merancakkan ekonomi desa.
Katanya, ini melibatkan Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW bagi menetapkan persetujuan awal bagi program terpilih dengan
dengan industri dalam aspek padanan pekerjaan yang baik, gaji permulaan setimpal dan laluan kemajuan kerjaya.
“Menerusi inisiatif TVET Jana Desa pula agar
graduan membuka perusahaan teknikal di daerah masing-masing dengan sokongan bimbingan perniagaan, pembiayaan dan akses pasaran.
“Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi seperti automasi AI dan kecekapan tenaga bagi membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi,” katanya.
Jelasnya, usaha itu turut melengkapi sasaran Belanjawan 2027 untuk menempatkan 1,000 belia Bumiputera melalui MARA dalam sektor berpertumbuhan tinggi serta membaik pulih pendawaian di 20,000 rumah keluarga miskin menggunakan kemahiran GiatMara. – KOSMO! ONLINE
The post TVET perlu teroka teknologi kuantum appeared first on Kosmo Online.




