TVET, universiti saling melengkapi, penuhi keperluan industri

LocalOpinion
10 Jul 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

TVET, universiti saling melengkapi, penuhi keperluan industri

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian tinggi (IPT) bukanlah dua laluan yang saling bersaing, sebaliknya masing-masing memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.

Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, Universiti Selangor (UNISEL), Ts Dr Norazean Shaari @ Md Noh berkata, kedua-dua laluan mempunyai kekuatan tersendiri dan perlu dilihat sebagai saling melengkapi dalam pembangunan modal insan negara.

Menurut beliau, graduan TVET mempunyai kelebihan daripada aspek kemahiran praktikal, manakala graduan universiti pula berperanan memperkukuh pembangunan inovasi, pengurusan serta analisis berdasarkan asas teori yang dipelajari.

"Graduan TVET kekuatannya adalah dari segi kemahiran praktikal. Bagi graduan universiti pula, kita perlukan graduan yang mempunyai ilmu asas teori untuk pembangunan inovasi, pengurusan dan menganalisis data," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa bertajuk 'TVET atau Universiti, mana pilihan terbaik?' terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Image from: TVET, universiti saling melengkapi, penuhi keperluan industri
Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor (UNISEL), Ts Dr Norazean Shaari @ Md Noh (kanan) dan Ketua Pusat Korporat Perkhidmatan Industri dan Kebolehpasaran (CISEC) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Zalina Ismail (tengah) ketika program Bicara Semasa di Media Selangor pada 2 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Tambahnya, perbezaan pendekatan pembelajaran antara TVET dan universiti bukan bermaksud satu laluan lebih baik daripada yang lain kerana kedua-duanya memenuhi keperluan pekerjaan yang berbeza.

"Apa yang saya dapat lihat ketika ini sebenarnya kedua-dua universiti ataupun Politeknik sangat memberi tambah baik kepada pelajar juga.

"Cuma pelajar perlu mengetahui kekuatan mereka sendiri sama ada dari sudut teori mahupun praktikal untuk mereka melanjutkan pengajian tersebut," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pusat CISEC Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Zalina Ismail berkata, TVET dan universiti sebenarnya berkongsi matlamat sama iaitu menyediakan graduan yang relevan dengan kehendak industri.

Katanya, sama ada memilih TVET atau universiti, kedua-dua institusi berusaha melahirkan tenaga kerja yang mempunyai ilmu, kemahiran dan kompetensi diperlukan bagi menyokong pembangunan negara.

"Sistem pendidikan sangat fleksibel. Ibu bapa tak perlu risau nak hantar anak ke universiti atau TVET.

Image from: TVET, universiti saling melengkapi, penuhi keperluan industri
Ketua Pusat Korporat, Perkhidmatan Industri dan Kebolehpasaran (CISEC) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Zalina Ismail ketika Bicara Semasa di Media Selangor pada 2 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Sebab kedua-duanya mempunyai matlamat sama iaitu menyediakan tenaga kerja yang berwibawa, relevan dengan industri bagi pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata, justeru pelajar dan ibu bapa tidak seharusnya melihat TVET dan universiti sebagai dua pilihan saling bersaing, sebaliknya memilih laluan yang paling sesuai dengan minat, kebolehan dan potensi diri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved