Twitter Blue Dilancarkan Pada Isnin

Technology
11 Dec 2022 • 3:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Twitter akan mula mengenakan bayaran US$8 sebulan bagi langganan menerusi sesawang, manakala langganan iOS berharga US$11 sebulan - Gambar Fail AFP

WASHINGTON - Twitter Blue akan mula dilancarkan minggu depan, lapor Sputnik.

"Kami akan melancarkan semula @TwitterBlue pada Isnin," menurut Twitter di halaman rasminya pada Sabtu.

Twitter akan mula mengenakan bayaran US$8 sebulan bagi langganan menerusi sesawang, manakala langganan iOS berharga US$11 sebulan.

Ciri berbayar termasuk tanda semak biru, keupayaan menyunting ciapan, memuat naik video berkualiti tinggi dan paparan mod pembaca.

"Kami akan mula menggantikan label 'rasmi' dengan tanda semak berwarna emas bagi perniagaan, dan tanda semak berwarna kelabu untuk akaun kerajaan dan pelbagai hala.

"Pelanggan dapat menukar ketetapan termasuk nama paparan dan foto, tetapi jika mereka berbuat demikian, mereka akan kehilangan tanda semak biru buat sementara waktu sehingga akaun mereka disemak semula,” menurut Twitter.

Pada akhir Oktober, jutawan Elon Musk memuktamadkan pemerolehan ke atas Twitter bernilai US$44 bilion.

Musk merombak operasi harian syarikat, termasuk menamatkan perkhidmatan separuh pekerjanya dan eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas penetapan privasi, keselamatan siber dan penapisan platform berkenaan. - Bernama