
Kota Kinabalu: Seramai 300 kanak-kanak istimewa dan anak yatim diraikan dalam Majlis Jamuan Teh sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri beliau, Toh Puan Faridah Tussin.
Pada majlis itu, Musa menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM2,000 setiap satu kepada 10 institusi kebajikan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Penerima termasuk Persatuan Autisme Sabah, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lok Kawi, PPDK Penampang, PPDK Papar, serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Datuk Peter Mojuntin, PPKI SMK Kolombong dan PPKI SMK Taman Tun Fuad.
Sumbangan juga disampaikan kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran, Pusat Jagaan Jireh Home Tuaran dan Rumah Anak Yatim Al-Aman Beaufort.
Acara turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk Tarian Rampai Etnik Borneo oleh murid-murid PPKI SMK Taman Tun Fuad, persembahan nyanyian oleh johan nyanyian Solo PPKI Daerah Kota Kinabalu Gaeshierronna Elulu Jaffri dan johan Big Sabah Voice Muhlis Husrev Ozkan.
Persembahan Koir Bahasa Isyarat dari Kelas Pendidikan Khas Pendengaran SMK Datuk Peter Mojuntin Penampang dan persembahan muzik bambu oleh kumpulan Lingga Bamboo Sound dari SK Lingga Baru Tuaran turut memukau hadirin.
Upacara memotong kek disempurnakan oleh Musa diiringi Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, bersama isteri beliau Datin Seri Linda Ewit.
Puspanita dan Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara-GRS) turut menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak istimewa dan anak yatim yang disampaikan oleh Faridah serta isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Mutiara-GRS Datin Seri Juliah Salag.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata khas berupa lukisan bertajuk ‘Kota Jesselton Merentas Masa’ hasil karya Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran dan Pertuturan, Rosemary Yvonne Marcus, yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri.

