U Mobile Ultra5G Kini Meliputi Lapangan Terbang Tempatan, Memperkenalkan Pelan eSIM Baru Untuk Pelancong

LocalTechnology
12 Feb 2026 • 5:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

U Mobile, syarikat telekomunikasi tempatan hari ini telah mengumumkan bahawa teknologi sambungan rangkaian 5G dalam bangunan mereka, Ultra 5G telah diperluaskan ke beberapa hab transportasi di seluruh Malaysia.

Ini termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Penang Sentral dan juga Terminal Bersepadu Selatan yang mana semua pelanggan-pelanggan rangkaian telekomunikasi syarikat tersebut boleh memanfaatkan sambungan rangkaian 5G di semua kawasan lapangan terbang ini.

image is not available

Kehadiran teknologi rangkaian dalam bangunan Ultra 5G bukan sahaja memanfaatkan pelawat dan pelanggan U Mobile, tetapi juga membolehkan pelbagai industri seperti logistik dan penghantaran barangan untuk menyusun dan mengeluarkan pakej dan hantaran barangan dengan cepat dan lancar.

Penggunaan rangkaian Ultra 5G ini juga boleh memanfaatkan teknologi Redcap (Reduced Capability) yang membolehkan rangkaian 5G digunakan untuk menyambungkan perkakasan seperti kamera CCTV ke rangkaian 5G untuk penghantaran suapan video ke mesin pelayan dengan lancar dan tanpa sela masa.

image is not available

Kemampuan rangkaian 5G dalam bangunan ini dibangunkan oleh U Mobile dengan rakan infrastruktur EDOTCO yang memastikan bahawa rangkaian 5G boleh diakses pada setiap pelusuk lokasi-lokasi ini, tanpa titik buta apabila dibandingkan dengan menggunakan sistem yang menggunakan teknologi rangkaian hotspot.

Dalam pada itu, bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, U Mobile turut memperkenalkan tawaran kad eSIM percuma untuk pelancong di Malaysia, dimana U Mobile menawarkan eSIM tersebut untuk 24 jam dengan jumlah data boleh digunakan sebanyak 100GB.

image is not available

Untuk pelancong dari luar Malaysia yang mendarat di lapangan-lapangan terbang yang tertera diatas, mereka hanya perlu mencari kod QR untuk mendaftar akaun dengan U Mobile yang terletak di balai berlepas dan ketibaan, dan mereka kemudiannya boleh terus menggunakan data 100GB tersebut untuk 24 jam berikutnya.