KUALA LUMPUR - Kira-kira 300,000 pelajar sekolah di seluruh negara didapati terjebak dengan penggunaan rokok elektronik atau vape.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan, daripada jumlah yang direkodkan Kementerian Kesihatan, 50,000 daripada mereka terdiri daripada pelajar perempuan.
Mengakui bimbang dengan angka itu, Dr Dzulkefly menegaskan, pihaknya memandang serius perkara tersebut.
“Satu kajian dalam kalangan pengguna rokok elektronik di Malaysia didapati dalam kalangan pelajar sekolah sebanyak 9.1 peratus atau 300,000 pelajar kita menggunakan vape.
“Daripada jumlah itu, seramai 250,000 melibatkan pelajar lelaki dan bakinya dalam kalangan pelajar perempuan. (Penglibatan pelajar dalam menggunakan vape) itu juga sangat menggusarkan,” katanya di Dewan Rakyat di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) berhubung langkah kerajaan bagi membendung jualan vape terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.
Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly turut memberitahu bahawa penguatkuasaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape yang menggunakan cecair tanpa nikotin masih dalam perbincangan.
Katanya, kementeriannya bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih lagi menjalankan kajian mendalam dan perbincangan termasuk akta baharu berkaitan vape yang kini dalam semakan Jabatan Peguam Negara.
“Selain itu, pihak kami juga sedang meneliti kajian-kajian terkini yang menunjukkan kesan sampingan terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape termasuk beberapa kematian yang dicatatkan di negara Amerika Syarikat.
“Justeru, satu kajian terperinci perlu dibuat untuk mengkaji semula keperluan menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan vape secara menyeluruh,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, satu akta baharu yang sedang dalam semakan Jabatan Peguam Negara akan memperuntukkan penggunaan semua jenis produk merokok seperti rokok konvensional dan rokok elektronik atau vape bagi individu berumur di bawah 18 tahun adalah dilarang sama sekali.
Menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH- Hulu Langat) mengenai pihak yang sanggup membayar cukai jika dikenakan ke atas penggunaan vape, Dr Dzukefly menjelaskan kementerian lebih mementingkan kesihatan rakyat.
“Walaupun disebut industri vape boleh membantu menjana percukaian negara, tetapi kementerian menghitung baik buruk sifat rokok itu sendiri terutama masalah kesihatan akibat nikotin yang lebih besar,” katanya.

