Exco rayu semua peniaga Pasar Awam Bahau jalani saringan Covid-19

Politics
26 Apr 2020 • 4:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JEMPOL - Penduduk di kawasan Bahau dinasihatkan supaya tidak panik selepas salah seorang peniaga di Pasar Awam Bahau didapati positif koronavirus (Covid-19).

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, ini berikutan pihak berkuasa telah mengambil langkah sewajarnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan Covid-19 merebak.

"Masyarakat diharapkan terus bertenang dan kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan penting untuk keluar selain mematuhi penjagaan kebersihan sepertimana disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagaimanapun, mereka yang pernah membuat urusan di Pasar Awam Bahau sebelum ini dan bimbang jangkitan Covid-19 boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Jempol bagi mendapatkan khidmat nasihat sebelum tindakan susulan diambil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kok Seong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau turut merayu kepada semua peniaga pasar tersebut dan berhampiran agar memberikan kerjasama untuk hadir menjalani saringan di Medan Niaga Bahau jam 8.30 pagi esok.

"Orang ramai diminta memberi kerjasama supaya wabak Covid-19 tidak merebak sekali gus dapat dikawal dan diatasi sebaiknya.

"Kita tidak akan berjaya memutuskan rantaian wabak Covid-19 jika orang ramai tidak memberi kerjasama," katanya.

Terdahulu, operasi Pasar Awam Bahau ditutup 14 hari bermula esok sehingga 10 Mei depan selepas seorang peniaga di pasar awam tersebut didapati positif Covid-19 pada Jumaat lalu.

Kes terbaharu itu dipercayai dari kluster Pasar Borong Selayang, Selangor.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved