
LUAR NEGARA – Suasana Ramadan bukan sahaja dirindui di tanah air, malah turut dirasai oleh rakyat Malaysia yang berada di perantauan. Walaupun jauh beribu kilometer, kemeriahan ibadah tetap diteruskan dengan cara tersendiri, malah ada yang disulami kisah santai yang mencuit hati.
Seorang pengguna Threads, @taiko_borong_china, mencuri perhatian ramai apabila berkongsi pengalaman unik menunaikan solat Tarawih di China.
Menerusi hantaran tersebut, lelaki berkenaan membandingkan rupa seorang lelaki tempatan yang dikatakan mempunyai iras wajah dengan pendakwah terkenal tanah air, Ustaz Azhar Idrus.
Menurutnya, jarak antara rumahnya di Guangzhou dengan masjid mengambil masa kira-kira sejam perjalanan, sekali gus menyebabkan agak meletihkan untuk berulang-alik setiap hari sepanjang Ramadan.
“Jarak masjid dengan rumah aku dekat Guangzhou ni dalam sejam. Jadi nak pergi masjid hari-hari memang penat sikit.
“So untuk mengisi hari yang tak pergi masjid, isteri aku ajak tokey-tokey kedai Lanzhou Lamien berhampiran rumah untuk solat Tarawih sekali dekat rumah.
“So dapatlah kitorang berimamkan Ustaz Azhar Idrus ‘copy ori’ China ,” tulisnya berseloroh.
Netizen Terhibur, Ruangan Komen Jadi Tumpuan
Perkongsian tersebut pantas mengundang perhatian warga maya yang rata-rata terhibur dengan situasi berkenaan. Di ruangan komen, ada yang berseloroh bertanya sama ada “Ustaz Azhar Idrus borong ke ni? Tinggi jugak gred”, manakala seorang lagi meninggalkan komen, “Jauh UAI berceramah sampai ke China ”.
Tidak kurang juga yang melihatnya dari sudut positif dengan menyatakan, “Masya-Allah, nikmat. Alhamdulillah ada juga iras-iras Ustaz Azhar Idrus,” selain ada yang bergurau mengatakan, “Punyalah maju China ni, UAI pun ada ‘copy ori’.”
Walaupun sekadar gurauan ringan, ramai menyifatkan pengalaman itu sebagai momen manis di perantauan apabila masih berpeluang menunaikan ibadah bersama komuniti Muslim setempat dalam suasana sederhana tetapi penuh ukhuwah.
Perkongsian santai tersebut sekali gus membuktikan bahawa di mana sahaja berada, semangat Ramadan tetap dapat dirasai dan diraikan bersama. – The Malaysian Update
The post “UAI Sampai China?” – Solat Tarawih Di Guangzhou Curi Perhatian Netizen appeared first on The Malaysian Update.
