Ubah haluan politik? Muhyiddin sahkan MIC mohon sertai Perikatan Nasional

LocalPolitics
30 Nov 2025 • 8:32 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Kongress India Malaysia (MIC) telah mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai gabungan itu.

Memetik laporan FMT, permohonan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya maklum kepada presiden dan setiausaha agung MIC bila selesai PRN Sabah kita akan mesyuarat dan bincang secara terperinci permohonan yang dibuat MIC,” katanya pada sidang media.

image is not available

Muhyiddin sahkan MIC mohon sertai Perikatan Nasional

Ujarnya, keputusan mengenai kedudukan MIC dalam PN akan dimuktamadkan selepas mesyuarat berkenaan meneliti permohonan tersebut.

“Keputusan muktamad akan dibuat bila mana majlis tertinggi PN mengadakan mesyuarat meneliti permohonan itu dan selepas itu kita akan maklum secara rasmi keputusan tentang penyertaan MIC dalam PN,” katanya.

image is not available

Beliau membuat kenyataan itu selepas menghadiri Konvensyen Urimai di Ideal Convention Centre.

Pada 16 November lalu, Perhimpunan Agung MIC ke-79 menyaksikan Timbalan Presiden, M Saravanan, membentangkan usul keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan memohon secara rasmi untuk menyertai PN.

Usul itu dibahas tanpa undian, dan kepimpinan tertinggi MIC diberi mandat untuk menentukan hala tuju parti.

Perkembangan itu berlaku susulan dakwaan wujudnya layanan tidak adil oleh UMNO, selain spekulasi berlarutan mengenai masa depan MIC dalam BN. Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sebelum ini menyatakan parti sudah tiba di “persimpangan” perjalanan politiknya, dan perwakilan perlu menentukan masa depan gabungan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini memaklumkan BN akan mengadakan perbincangan bersama MIC selepas PRN Sabah.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin turut mengesahkan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengemukakan permohonan menyertai PN, namun memerlukan maklumat tambahan mengenai struktur dan keahlian parti itu.

Ketika ini, PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Sumber: FMT (Faiz Zainudin)