Ubah suai tangki seleweng diesel

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 9:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Cubaan seorang lelaki menyeleweng diesel gagal apabila diserbu di stesen minyak di Beaufort.

BEAUFORT - Tindakan seorang lelaki mengisi diesel dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak membawa kepada penahanannya selepas disyaki cuba menyeleweng kira-kira 200 liter bahan api itu dalam kejadian di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Tiris 4.0.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata, tangkapan dan rampasan dibuat dalam serbuan mengejut terhadap sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero di kawasan stesen minyak berkenaan.

"Serbuan dijalankan hasil maklumat dan pemerhatian anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti mencurigakan ketika kenderaan berkenaan sedang mengisi diesel di pam stesen tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai dengan tangki tambahan yang dipercayai mengandungi kira-kira 200 liter minyak diesel," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pihak KPDN menyita kenderaan, diesel serta dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

"Pemandu kenderaan juga telah dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis.

"Nozel pam stesen minyak yang terlibat turut diambil tindakan penguatkuasaan, manakala dua laporan polis telah dibuat berhubung kes ini," katanya.

Julie berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan tindakan terhadap pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pegawai penyiasat akan dilantik bagi melengkapkan siasatan," katanya.