Ubah visual, bukan pakaian dan lagu nasyid – Imran Ajmain

EntertainmentMusic
2 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ubah visual, bukan pakaian dan lagu nasyid – Imran Ajmain

PETALING JAYA: Penyanyi, Imran Ajmain, berpendapat penggiat genre nasyid perlu melakukan evolusi dari segi kualiti visual dan strategi promosi yang lebih segar.

Menurut Imran atau Ahmad Imranullah Ahmad Husaini Ajmain, 45, imej lagu nasyid yang sering dikaitkan dengan latar masjid, pemakaian berkopiah dan pemandangan alam semula jadi dilihat tidak lagi cukup berkesan untuk memikat generasi baharu.

“Nasyid kalau nak viral tak perlu diubah kepada jaket kulit atau pakaian moden. Yang perlu dimodenkan ialah visual. Kebanyakan promosi nasyid sekarang masih menggunakan pendekatan, ‘Assalamualaikum, inilah lagu baharu saya’.

“Cara itu sudah tidak lagi berkesan. Dalam dunia media sosial sekarang, penonton di Reels atau TikTok hanya memberi masa kira-kira tiga saat sebelum meleret (skip) ke video lain.

“Kita perlukan ‘hook’, terus kepada korus dan format penggambaran yang menarik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Seribu Tahun itu berkata, rujukan untuk menghasilkan visual berkualiti kini amat mudah diperoleh menerusi pelbagai platform.

Katanya, usaha memodenkan nasyid bukanlah melibatkan perubahan pakaian artis atau inti pati lagu, sebaliknya memberi tumpuan kepada kaedah penceritaan yang lebih kreatif dan berkesan.

“Saya nak tekankan sekali lagi, tak perlu modenkan lagu atau pakaian artis nasyid. Biarkan identiti genre itu kekal seperti sedia ada. Apa yang perlu diubah ialah format dan teknik penceritaan.

“Sebagai artis dan pemuzik, kita perlu mempelajari teknik penceritaan kerana pendengar hari ini bukan sekadar mahu mendengar lagu, tetapi juga mahu melihat bagaimana sesuatu cerita disampaikan.

“Jika penceritaan itu tidak disampaikan melalui kata-kata, ia perlu dizahirkan menerusi visual. Dalam hal ini, nasyid selalunya kalah dari segi persembahan visual,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di platform media sosial Threads, seorang penerbit lagu nasyid yang dikenali sebagai Ustaz Zoul meminta pandangan orang ramai selepas meluahkan rasa hairan mengapa lagu berunsur Islamik sukar mencipta fenomena tular berbanding lagu daripada genre lain. – UTUSAN

The post Ubah visual, bukan pakaian dan lagu nasyid – Imran Ajmain appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved