Penggunaan ubat berasaskan GLP-1 seperti Ozempic, Mounjaro dan Wegovy berjaya mengurangkan tahap gula pada tubuh pesakit diabetes jenis dua. Ia juga kini mempunyai kegunaan lebih popular sebagai ubat mengurangkan berat badan dengan ia juga berkesan menentang ketagihan alkohol serta kokain dan mengurangkan risiko dementia. Ely Lily baru-baru mengumumkan kejayaan ujian ubat Orforglipron berasaskan GLP-1 tetapi dalam bentuk pil.

Keberkesanan Orforglipron yang diambil sebiji sehari adalah setanding dengan suntikan GLP-1 pada peserta ujian klinikal fasa ketiga yang baru sahaja selesai. Secara purata tahap gula dalam darah berjaya dikurangkan sehingga 1.6% dengan 65% penerima Orforglipron berjaya mengurangkan gula dalam darah ke tahap normal.
Pada waktu yang sama peserta melaporkan pengurangan berat badan sehingga 7 kilogram selepas mengambil Orforglipron selama 40 minggu. Ini meletakkan setanding dengan keberkesanan Ozempic tetapi masih di bawah Mounjaro
Kelebihan ubat dalam bentuk pil ialah ia lebih mudah diambil dan tidak memerlukan peti sejuk untuk disimpan. Sungguhpun begitu penganalisa meramalkan kos menghasilkan Orforglipron juga lebih tinggi. Dengan kejayaan ujian klinikal fasa ketiga ini, Ely Lily berharap Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat akan meluluskan penjualan Orforglipron bermula awal 2026 untuk pesakit diabetes.
