UCL: Man. United berdepan getir hebat

Football
23 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UCL: Man. United berdepan getir hebat

COMO – Kedudukan Michael Carrick sebagai pengurus Manchester United terus menjadi persoalan selepas pasukan itu tewas 1-4 kepada Como dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) di Stadium Giuseppe Sinigaglia awal pagi semalam.

Tambah parah, kekalahan itu menyaksikan kapten The Red Devils, Bruno Fernandes mula meragui kredibiliti Carrick apabila mengkritik taktikal yang diterapkan sehingga menyebabkan United dibelasah.

Fernandes berkata, dia dan rakan sepasukan hanya mengikut perancangan dibuat barisan kejurulatihan yang meminta mereka untuk bermain secara terbuka sehingga memberikan banyak ruang kepada pasukan tuan rumah.

“Kami bermula dengan langkah sumbang apabila mereka menjaringkan gol awal. Secara jujur, kami tidak memberi tekanan kepada mereka selain posisi yang tidak tersusun ketika sedang bertahan.

“Itu (keputusan) semuanya bergantung kepada pengurus (Carrick) dan barisan kejurulatihan, bukannya saya. Kadang-kadang kami perlu berani untuk berdepan tekanan dan ambil risiko melakukan serangan,” katanya.

Pada perlawanan itu, bintang Como, Nico Paz mempamerkan aksi memukau menerusi dua jaringan dilakukan manakala dua lagi gol dijaringkan Anastasios Douvikas dan Jacobo Ramon sementara gol United disumbangkan Joshua Zirkzee.

Sementara itu, Carrick turut membalas kritikan yang dilemparkan oleh Fernandes dan menganggap anak-anak buahnya tidak menunjukkan intensiti yang diperlukan.

“Tidak kira sistem apa yang anda gunakan atau taktikal apa yang anda terapkan, jika anda tidak berlari, tidak berlari ke hadapan dan tidak berlari ke belakang, anda tidak akan menang.

“Sejujurnya, saya benar-benar marah. Kita mungkin menang, kita mungkin kalah, tetapi cara kita beraksi malam ini memang tidak boleh diterima. Saya cuma mahu para penyokong tahu bahawa saya benar-benar memahami perasaan mereka dan turut bersimpati dengan kekecewaan yang mereka alami,” ujarnya. – AGENSI

The post UCL: Man. United berdepan getir hebat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved