Udo Kier, Pelakon Red Alert 2 dan COD WWII Meninggal Dunia

EntertainmentMovie
24 Nov 2025 • 10:24 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Udo Kier, pelakon tahap kultus yang membintangi siri permainan video Command & Conquer : Red Alert 2 dan Call of Duty WWII meninggal dunia semalam pada usia 81 tahun. Kier membintangi lebih 275 filem, siri TV dan permainan video dalam kerjaya yang bermula pada tahun 1966. Sebab kematian beliau belum lagi diumumkan.

image is not available

Dalam kalangan peminat siri Command and Conquer, Kier cukup dikenali kerana memegang watak antagonis Yuri yang menggunakan kuasa kawalan otak untuk mengalahkan musuh. Selain Red Alert 2, beliau juga menjadi watak utama dalam DLC Command & Conquer : Yuri’s Revenge. Sementara itu beliau meminjamkan suara kepada watak Dr Peter Straub dalam Call of Duty WWII .

Kier yang dilahirkan di Jerman pada tahun 1944 memulakan hidup dengan langkah kiri. Hospital beliau dilahirkan di Cologne dibom oleh Tentera Bersekutu sehingga beliau dan ibu terpaksa dikorek keluar. Dalam dunia layar perak, beliau kerap memegang watak antagonis ataupun hantu puntianak bermula dengan filem Blood for Dracula sebelum kemudian dalam filem Blade.

Walaupun telah meninggal dunia, Kier masih mempunyai 7 projek dalam pembikinan termasuk permainan video OD oleh Hideo Kojima. Di X, Kojima menyatakan beliau terkilan dengan berita kematian ini kerana fasa rakaman lakonan masih belum dilakukan untuk watak Kier. OD dinantikan peminat Kojima kerana ia dipercayai adalah pembangunan semula permainan P.T yang dibatalkan selepas beliau meninggalkan Konami.