UEC tidak boleh diputuskan atas tekanan politik, mesti berpaksikan Perlembagaan – Zambry

LocalPolitics
12 Dec 2025 • 10:17 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa sebarang cadangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) mesti berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga selari dengan Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendirian itu selaras dengan kenyataan dan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu pengiktirafan UEC.

UEC tidak boleh diputuskan atas tekanan politik

image is not available

Menurut beliau, pendirian Kerajaan MADANI kekal konsisten bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi serta terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa sebarang pengecualian.

Artikel lain: Tuntutan UEC: PM Anwar pertahan Perlembagaan, utamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT turut bersetuju dengan penegasan Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan termasuk Cina, Tamil, Arab, Inggeris dan sekolah antarabangsa wajib mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu.

image is not available

Ia selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi nasional dalam pembinaan jati diri dan perpaduan negara.

image is not available

Beliau berkata, di peringkat KPT, kementerian akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing dengan penekanan berterusan terhadap penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu.

“Pada masa yang sama, pemerkasaan Bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Tamil dan Arab akan turut diberikan perhatian bagi melahirkan bakat nasional yang multilinguisme, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan serta mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global,” katanya.