
PETALING JAYA – UEM Edgenta Berhad hari ini melancarkan Program Keusahawanan Belia (YEP), yang julung kali diperkenalkan bagi mengenal pasti, melatih dan membimbing usahawan muda dalam ekosistem vendor Syarikat.
Kumpulan pertama program ini terdiri daripada enam vendor dalam ekosistem perniagaan Penyelesaian Infrastruktur dan Pengurusan Aset UEM Edgenta.
Mereka dipilih menerusi proses saringan teliti dan berperingkat, dengan kriteria kelayakan yang menekankan kepimpinan usahawan muda dan rekod prestasi perniagaan sebelum melalui audit dokumen, penilaian awal serta lawatan tapak berpandukan Kerangka Kecemerlangan Perniagaan Malaysia.
Bagi melaksanakan komponen latihan, UEM Edgenta menjalin kerjasama strategik dengan Institut Keusahawanan Negara (Insken) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Insken akan menerajui latihan berkaitan pembangunan model perniagaan, kepimpinan dan
perancangan strategik yang membawa kepada pensijilan Insken, sementara CIDB menyediakan latihan teknikal yang merangkumi pengurusan tender, kontrak dan kewangan serta sistem pengurusan bagi membantu peserta meningkatkan tahap pematuhan serta daya saing dalam industri pembinaan dan infrastruktur.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Shaiful Subhan berkata, YEP mencerminkan komitmen Syarikat untuk membangunkan ekosistem vendor yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
“Melangkah ke hadapan, kami mahu membangunkan ekosistem pembekal yang pelbagai dan berdaya saing, berteraskan keupayaan serta prestasi.
“Kami percaya peluang perlu diraih melalui komitmen, kualiti dan kesediaan untuk berkembang, bukan semata-mata berdasarkan tempoh sesebuah syarikat beroperasi.
“Rantaian bekalan yang kukuh tidak terbina dalam sekelip mata. Ia memerlukan pelaburan dalam pembangunan modal insan, peningkatan keupayaan serta pembentukan kerjasama jangka panjang yang membolehkan semua pihak berkembang bersama,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE
The post UEM Edgenta lancar Program Keusahawanan Belia, bangunkan vendor berdaya saing appeared first on Kosmo Online.


